BENGALURU: Polis India menahan seorang wanita dan menyiasat empat lagi individu yang bekerja di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di premis syarikat perkhidmatan teknologi maklumat (IT) Perancis, Capgemini, selepas dakwaan penderaan kanak-kanak di fasiliti tersebut.
Menurut laporan polis yang difailkan pada 29 Jun, siasatan dilancarkan selepas polis menerima maklumat serta rakaman video yang didakwa menunjukkan kanak-kanak di pusat jagaan itu menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental.
Laporan itu dibuat selepas pihak berkuasa menerima aduan menerusi talian bantuan kanak-kanak, selain video memaparkan kanak-kanak menangis yang dikongsi melalui aplikasi WhatsApp.
Aduan itu mendakwa, kakitangan di pusat jagaan kanak-kanak yang beroperasi di kampus Capgemini di Bengaluru melakukan penderaan fizikal serta mengugut kanak-kanak di bawah jagaan mereka, termasuk mengancam mangsa yang menangis akan dimasukkan ke dalam mesin basuh, selain pelbagai bentuk layanan kasar lain.
Capgemini berkata, pusat jagaan tersebut dikendalikan oleh penyedia perkhidmatan luar dan ditutup sementara ketika pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.
Polis Bengaluru memaklumkan, pusat jagaan itu diuruskan oleh sebuah syarikat bernama Little Scholars.
Capgemini India merupakan unit kepada Capgemini SE yang berpangkalan di Perancis, iaitu firma perundingan dan penyumberan luar IT yang mempunyai lebih 420,000 pekerja di seluruh dunia serta beroperasi di lebih 50 negara.
Syarikat itu menyediakan perkhidmatan awan, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan dan perkhidmatan digital kepada pelanggan merentasi pelbagai industri.- AGENSI









