Muda persoal umum bina hospital menjelang PRN Negeri Sembilan

Muda persoal umum bina hospital menjelang PRN Negeri Sembilan

MUDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mempersoalkan pengumuman pembinaan hospital baharu di Bandar Enstek di sini ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semakin hampir.

Ketua Penerangan Muda negeri, Noor Fadzli Shah berkata, keperluan sebuah hospital baharu di kawasan Nilai bukan isu baharu memandangkan penduduk telah lama berdepan kesesakan di Hospital Tuanku Ja’afar (htj)

Menurutnya, sekiranya perkara itu telah dikenal pasti sejak lima atau enam tahun lalu, kerajaan perlu menjelaskan mengapa pengumuman hanya dibuat ketika PRN semakin hampir.

“Rakyat tidak boleh terus diperlakukan seolah-olah mereka mudah dipengaruhi dengan janji pembangunan setiap kali pilihan raya semakin hampir. Ini adalah budaya politik lama yang sepatutnya telah ditinggalkan.

“Kerajaan tidak seharusnya menggunakan pengumuman projek pembangunan sebagai kelebihan politik untuk mempengaruhi pengundi walaupun larangan rasmi hanya berkuat kuasa selepas penamaan calon diumumkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Fadzli berkata, rakyat kini menilai kerajaan berdasarkan tindakan, pelaksanaan dan hasil yang boleh dirasai, bukannya sekadar pengumuman atau sidang media.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci status projek berkenaan termasuk tarikh pelaksanaan, jumlah peruntukan yang diluluskan, status kelulusan, tempoh pembinaan serta jangkaan tarikh hospital itu mula beroperasi.

“Hospital ini bukan hadiah daripada mana-mana parti politik kerana ia dibina menggunakan wang rakyat. Oleh itu, kerajaan tidak sepatutnya menggunakan projek yang dibiayai oleh rakyat sebagai bahan kempen menjelang pilihan raya,” katanya.

Bagaimanapun , parti itu tetap menyokong setiap pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat, namun akan terus bersuara sekiranya pembangunan dijadikan ‘gula-gula politik’ setiap kali musim pilihan raya.

Semalam media melaporkan sebuah hospital baharu akan dibina di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan penduduk daerah Seremban serta bagi menyuraikan kesesakan di HTJ.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkata, pembinaan hospital baharu di koridor utara Seremban itu amat sesuai dengan pembangunan rancak di kawasan tersebut yang secara langsung telah menyebabkan peningkatan populasi penduduk yang mendadak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN