Pelancaran JS-SEZ perlu secara strategik

Pelancaran JS-SEZ perlu secara strategik

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan inisiatif ekonomi rentas sempadan yang melibatkan Malaysia dan Singapura.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pelancarannya perlu disusun secara strategik bagi memastikan keselarasan dasar, kesiapsiagaan pelaksanaan serta keyakinan pelabur dapat diperkukuh.

Katanya, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelaras pelancaran Pelan Induk JS-SEZ di peringkat Leaders’ Retreat oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara pada suku keempat tahun ini menunjukkan strategi Kerajaan Malaysia untuk memastikan komitmen dua hala di peringkat tertinggi.

“Langkah itu sekali gus memberi impak publisiti dan keyakinan berskala global terhadap pelaksanaan JS-SEZ.

“Kemajuan JS-SEZ perlu dinilai berdasarkan hasil serta impak ekonomi yang nyata dan bukannya bersandarkan kepada tarikh pelancaran dokumen semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Akmal Nasrullah, data pelaburan semasa membuktikan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap pasaran Johor kekal utuh serta konsisten.

“Kementerian Ekonomi akan memastikan kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor dan agensi pelaksana terus kukuh supaya pelaksanaan JS-SEZ kekal tersusun.

“Usaha itu bagi memastikan inisiatif tersebut menjadi model kerjasama ekonomi yang berdaya saing, terangkum dan mampan demi membuka peluang pelaburan sebenar, pendapatan bernilai tinggi serta manfaat kepada rakyat,” katanya.

Sepanjang 2025, inisiatif JS-SEZ telah merekodkan impak prestasi luar biasa apabila berjaya mencatatkan sejumlah RM76.98 bilion pelaburan yang diluluskan.

Daripada jumlah kumulatif pelaburan itu, sebanyak 57 peratus daripadanya dilaporkan kini telah pun memasuki peringkat pelaksanaan yang aktif di lapangan.

Momentum pertumbuhan positif terbabit terus berkesinambungan bagi prestasi suku pertama 2026 (Q1 2026) apabila sejumlah RM5.49 bilion pelaburan baharu berjaya diluluskan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Bagi prospek pelaburan semasa pula, Kementerian Ekonomi turut mengenal pasti potensi pelaburan baharu bernilai RM74.12 bilion yang berada dalam pelbagai fasa rundingan serta penilaian rancak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN