KLANG: Meskipun sudah lebih setahun banjir besar melanda Selangor, masih ada mangsa yang belum menerima bantuan RM2,500 dan bantuan lain yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Terbaharu, 30 keluarga mangsa banjir yang tinggal di sekitar Meru mendakwa tidak mendapat bantuan itu, termasuklah Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000.
Seorang mangsa, K. Vani, 48, berkata, permohonannya diterima Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Januari 2022 dan memperoleh bantuan RM1,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor.
“Tetapi saya tak dapat bantuan BWI dalam tempoh beberapa bulan, kemudian saya pergi berjumpa pegawai di pejabat berkenaan untuk bertanya status bantuan itu kepada saya. Tetapi, saya diarah merujuk ke pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), dua kali saya pergi.
“Selepas itu, saya penat berjumpa dengan pelbagai pihak, tetapi masalah tidak selesai,” katanya ketika ditemui di pejabat Kelab Kebajikan dan Sosial Meru Selatan, di sini, baru-baru ini.
Hal yang sama turut diluahkan seorang lagi mangsa banjir, Che Anwar Zainul Hafi Che Mat, 37, yang tidak menerima sebarang bantuan Kerajaan Persekutuan kecuali RM1,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor pada Januari tahun lalu.
“Bantuan Kerajaan Pusat langsung saya tak dapat seperti BWI, sumbangan pembelian barang keperluan dan rebat pembelian barangan elektrik.
“Saya kerugian RM10,000 akibat kerosakan barang elektrik seperti peti ais, mesin basuh, televisyen dan beberapa peralatan lain,” ujarnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Kerajaan Persekutuan sebelum ini memperkenalkan Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia pada awal 2022 yang mana sebuah keluarga mangsa banjir boleh menerima bantuan sehingga RM61,000.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sosial Meru Selatan, Mohd. Najib Othman berkata, pihaknya sebelum ini membantu ratusan mangsa, dengan menjadi penghubung kepada mangsa banjir dengan pihak ICU JPM.
“Apa yang saya buat adalah mendapatkan nama serta butiran mangsa dan menyerahkan kepada pihak ICU JPM dan Alhamdulillah ia membuahkan hasil apabila beberapa keluarga yang sudah mendapat bantuan daripada kerajaan Pusat.
“Jadi, saya buat inisiatif ini semula kerana didapati ada lagi keluarga yang langsung tak dapat bantuan. Jadi selepas ini, saya akan hantar maklumat mangsa ini kepada pihak ICU JPM semula. Saya juga rancang untuk tulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” tegasnya. – UTUSAN










