160,000 perwakilan tentukan pemimpin UMNO pusat

160,000 perwakilan tentukan pemimpin UMNO pusat

UMNO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hari ini kira-kira 160,000 perwakilan UMNO seluruh negara akan menentukan tiga naib presiden parti itu yang akan dipilih bagi sesi 2023/2026 dengan lapan calon bertanding merebut jawatan tersebut.

Keputusan itu dilihat penting sebagai sebahagian proses pemulihan UMNO yang tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Tiga calon yang dipilih sama ada dikaitkan dengan propresiden atau tidak, bakal menggalas tugas berat untuk menentukan hala tuju parti dan menarik semula sokongan pengundi Melayu.

Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 menyaksikan lapan calon sah merebut jawatan Naib Presiden parti itu.

Dua daripada calon itu ialah penyandang jawatan berkenaan iaitu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Tiga lagi calon ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said; bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Turut bertanding Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Mohd. Yusof Musa@Jamaludin yang merupakan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri.

Melihat kepada kelapan-lapan calon berkenaan, mereka yang menyandang jawatan menteri sudah pasti mempunyai merit untuk mendapat tempat tiga teratas iaitu Khaled dan Azalina.

Bagaimanapun, calon-calon lain turut mempunyai kelebihan tersendiri di mana Johari antara calon popular yang turut mempunyai peluang cerah dalam mendapat tempat bagi jawatan Naib Presiden UMNO, memandangkan beliau seorang sahaja wakil rakyat UMNO yang memenangi kerusi parlimen bandar iaitu di Titiwangsa.

Kehebatannya itu terserlah dalam keadaan UMNO tewas dengan teruk dan hanya memenangi 26 kerusi sahaja pada PRU15.

Bagi Wan Rosdy pula, kepemimpinan beliau terserlah sebagai Menteri Besar Pahang dan kebarangkalian untuk beliau memperoleh undi daripada perwakilan di negeri itu ada, dan keadaan tersebut boleh disamakan dengan Hasni yang juga sangat disenangi rakyat ketika menjawat jawatan Menteri Besar Johor.

Malah, slogan sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri Johor, satu undi untuk Hasni sangat berkesan di mata rakyat Johor, lantas Barisan Nasional menang besar pada PRN Johor ketika itu.

Bagaimanapun, setelah UMNO kalah, Hasni antara pemimpin yang mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya melepaskan jawatan, akhirnya Hasni dilihat terkesan atas tindakan sendiri di mana kedudukan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor ditukar kepada Khaled yang disifatkan sebagai pro presiden.

Secara dasar, jawatan Naib Presiden ini sangat penting dalam membuat dasar dan keputusan di peringkat tertinggi menerusi mesyuarat Biro Politik yang turut disertai Presiden dan Timbalan Presiden.

Keputusan itu kemudiannya dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk diputuskan sebulat suara oleh ahli MT yang bakal dipilih nanti.

Ini kerana MKT merupakan badan tertinggi dalam memutuskan satu perihal dalam parti selain pendirian yang ditetapkan menerusi Perhimpunan Agung UMNO.

Melihat kepada situasi sebelum tamat berkempen tengah malam tadi, masing-masing cuba meraih undi daripada rakan-rakan dalam parti supaya mereka dijadikan pilihan sewaktu mengundi nanti.

Tempoh berkempen itu bukan hanya setakat di media sosial kumpulan WhatsApp, malah apa sahaja medium yang ada akan digunakan bagi menonjolkan kelebihan masing-masing tanpa memburukkan mana-mana calon yang lain.

Begitu juga suasana di parlimen yang turut menjadi fokus calon-calon naib presiden ini di mana ketika sedang berlangsungnya persidangan Dewan Rakyat, platform tersebut turut dijadikan medan untuk masing-masing mempromosi diri dengan yakin dan tanpa segan sebagai keyakinan mengapa seseorang itu perlu dipilih sebagai calon Naib Presiden UMNO.

Bagaimanapun, hari ini adalah penentunya di mana keputusan rasmi dijangka akan diketahui malam ini setelah perwakilan membuang undi bagi memilih kepemimpinan baharu yang akan ‘mewajahkan’ UMNO. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN