Wajibkan kursus keselamatan berkala pemandu lori - Utusan Malaysia

Wajibkan kursus keselamatan berkala pemandu lori

Pemandu lori
S. Puvaneaish (tiga, kanan) bersama wakil agensi kerajaan yang hadir pada program itu di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan disaran mewajibkan kursus keselamatan secara berkala kepada semua pemandu lori bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya melibatkan golongan itu.

Presiden Persatuan Usahawan Logistik Semenanjung Malaysia (PULSE), Dr. S. Puvaneaish berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) ketika ini menyediakan kursus itu kepada pengurus keselamatan syarikat-syarikat logistik.

Katanya, inisiatif itu perlu diperluaskan bagi memperkasakan kesedaran pemandu lori berkaitan pemanduan dan pematuhan peraturan jalan raya.

“Sebagai contoh, APAD boleh menyediakan kursus selama enam bulan sekali sebelum pemandu itu memperbaharui lesen masing-masing.

“Langkah itu mungkin dianggap lebih berkesan berbanding maklumat diberikan pengurus keselamatan syarikat mereka,” katanya selepas Sesi Dialog Bersama Agensi Kerajaan di Pusat Konvensyen Midlands di sini, semalam.

Seramai 300 usahawan logistik menyertai program itu yang turut dihadiri wakil Kementerian Pengangkutan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jelas Puvaneaish, PULSE menerusi lebih 100 syarikat berdaftar turut bersedia menanggung kos pelaksanaan kursus itu.

“Syarikat logistik secara lazimnya terpaksa menanggung kesan akibat salah laku jalan raya pemandu. Justeru, kami mahu berbincang dengan agensi kerajaan berkaitan untuk turut memberi latihan dan pensijilan kepada golongan tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya turut akan memohon PDRM memberi panduan mengenai masalah atau ketidakpatuhan umum pemandu lori bagi penyelesaian di peringkat akar umbi. 

“Selain itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) diseru mewujudkan kerjasama meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan mengetengahkan cabaran dihadapi syarikat logistik,” katanya.

Dalam pada itu, Puvaneaish berkata, PULSE merancang untuk membangun dan mengembangkan capaian syarikat logistik seiring dengan keperluan semasa. 

“Selain memfokuskan faktor pemandu berkaliber dan mengelak ketidakpatuhan, ia melibatkan laman web fungsian logistik dan perlindungan perundangan. Kita juga mahu memperkasa kerjaya pemandu sebagai profesion berprospek tinggi untuk berkembang dengan memperkenalkan modul pembangunan kerjaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya