KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menurunkan harga cukai jalan akan memberi impak negatif kepada kerajaan kerana kutipan dalam segmen itu sahaja menyumbang hasil besar kepada negara iaitu hampir RM3 bilion setahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia memerlukan satu kajian yang menyeluruh untuk melihat struktur cukai jalan, namun, beliau tetap berpendirian kutipan cukai jalan adalah hasil yang besar kepada kerajaan.
Katanya, kerajaan akan mempertimbang supaya struktur harganya dikaji semula namun sehingga kini belum ada keputusan untuk menurunkan harga cukai jalan.
“Hasil cukai jalan saja hampir RM3 bilion untuk (hasil) kerajaan. Jadi, berikutan keadaan kekurangan hasil yang sedang dihadapi, sebarang keputusan untuk menurunkan cukai jalan itu memang akan memberi impak negatif,” katanya pada sesi penggulungan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Siew Fook berkata, satu kajian menyeluruh terhadap pelaksanaan cukai jalan kenderaan elektrik (EV) pula akan dilakukan dalam aspek struktur harga supaya ia selari dengan dasar kerajaan yang mempromosi penggunaan kenderaan jenis itu.
Katanya, pelbagai insentif perlu ada dari segi harga cukai yang kompetitif, kemudahan stesen caj dan fasiliti dalam usaha menggalakkan penggunaan kenderaan EV.
Mengenai cadangan kerajaan meletakkan harga lantai untuk perkhidmatan aplikasi seru-pandu, katanya, bayaran pemandu adalah membabitkan urusan perniagaan.
“Sebarang penetapan bagi mengawal selia kadar tambang ini memerlukan kajian yang terperinci kerana membabitkan kepada pindaan Akta 715 dan juga peraturan kadar tambang untuk dibawa ke Parlimen bagi tujuan kelulusan.
“E-hailing adalah industri gig ekonomi di mana hanya berdasarkan konsep ‘market driven’ bagi menjalani kelestarian industri. Kerajaan tidak berhasrat untuk mengubah keperluan pasaran dan tumpuan adalah diberikan kepada isu kebajikan dan keselamatan pemandu dan penumpang,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sedang mempertimbang cadangan untuk mengenakan penalti kewangan kepada syarikat penerbangan atau tindakan lain yang bersesuaian dengan syarat lesen atau permit yang ditetapkan.
Katanya, ia bagi memastikan syarikat penerbangan mematuhi jadual penerbangan yang ditetapkan.
“Cadangan ini boleh dilaksanakan dengan perubahan atau tambahan kepada syarat lesen atau permit sedia ada, tindakan tegas seperti ini boleh diambil bagi memastikan kejadian pembatalan atau penjadualan semula penerbangan tidak lagi berulang,” katanya. – UTUSAN










