PETALING JAYA: Mahkamah Koroner secara tentatif bercadang mengadakan sesi locus in quo, iaitu lawatan ke lokasi kejadian berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, minggu depan.
Peguam yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat, Shahlan Jufrim berkata, tarikh tepat lawatan ke asrama sekolah itu masih belum diputuskan.
“Dijangkakan lawatan ke SMKA Tun Datu Mustapha akan diadakan minggu depan, tetapi tarikh akan ditentukan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas prosiding inkues dijalankan secara tertutup hari ini.
Shahlan berkata, setakat ini, semua saksi kanak-kanak telah selesai memberi keterangan, manakala prosiding pada Jumaat ini dijangka melibatkan seorang guru dan beberapa saksi lain akan dipanggil minggu depan.
Terdahulu, Shahlan berkata, saksi kanak-kanak ke-23 dipanggil semula untuk memberi keterangan mengenai penerimaan beberapa barangan dan kertas bertulis yang dikaitkan dengan Zara.
Antara barangan yang dikemukakan sebagai bukti dalam prosiding inkues itu ialah satu rantai kunci dengan patung avokado dan beberapa keping kertas.
Saksi memaklumkan, mahkamah bahawa barangan itu diberikan oleh Zara melalui rakannya yang juga pelajar Tingkatan Satu, namun tidak dapat mengingati tarikh sebenar penerimaannya.
Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira pukul 4 pagi.
Pada 13 Ogos tahun sama, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Sebelum itu, pada 8 Ogos, AGC telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara bagi membolehkan bedah siasat dijalankan. – UTUSAN










