Tiada individu disyaki tolak, bunuh Zara Qairina

Tiada individu disyaki tolak, bunuh Zara Qairina

ZARA Qairina Mahathir meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tiada individu dikenal pasti menolak atau membunuh Allahyarham Zara Qairina Mahathir berdasarkan hasil siasatan polis setakat ini.

Pegawai penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung berkata siasatan yang dijalankan tidak menemukan sebarang unsur mencurigakan berhubung kematian remaja itu.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika disoal peguam, Joan Goh mengenai kemungkinan kematian Zara berpunca daripada kemalangan, Yew Zhung berkata perkara itu perlu dirujuk kepada pakar.

Beliau turut mengesahkan sudah meneliti hubungan Zara dengan ahli keluarganya, yang juga antara 200 individu dipanggil untuk dirakam keterangan sepanjang siasatan dijalankan.

Goh turut bertanya sekiranya polis mengenal pasti mana-mana pihak yang berkemungkinan mempunyai motif memalsukan tulisan tangan Zara dalam diari serta 15 helaian kertas yang diserahkan kepada beliau, seperti dinyatakan dalam keterangannya sebelum ini.

“Tiada sebarang kepentingan bagi mana-mana pihak untuk berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan peguam, Shahlan Jufri, Yew Zhung berkata punca kematian Zara sudah dikenal pasti menerusi diagnosis doktor sebelum bedah siasat dijalankan.

Sebelum ini, ibu Zara dilaporkan dimaklumkan oleh Dr Pavankumar Balachandran bahawa anaknya meninggal dunia akibat severe traumatic brain injury with hypoxic ischemic encephalopathy, iaitu kecederaan otak traumatik teruk berkaitan ensefalopati hipoksik iskemik.

Yew Zhung juga bersetuju dengan Shahlan bahawa bedah siasat tetap perlu dijalankan sekiranya punca kematian sudah diketahui, tetapi terdapat keadaan atau persekitaran yang mencurigakan.

Ketika ditanya sama ada beliau percaya terdapat keadaan mencurigakan di sebalik kematian Zara, beliau memjelaskan penilaian awal berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian, maklumat dalam diari Zara serta diagnosis doktor tidak menunjukkan sebarang kejanggalan.

Di samping itu, beliau juga menambah hasil akhir siasatan juga mendapati tiada kecederaan lain pada tubuh mangsa selain kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Sebelum ini  Zara dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini