‘Kak M cuma gertak, tapi tidak sentuh Zara Qairina’

‘Kak M cuma gertak, tapi tidak sentuh Zara Qairina’

INKUES ZARA QAIRINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Adik kepada seorang senior yang dikenali Kak M mengesahkan bahawa kakaknya pernah mengeluarkan kata berbaur ugutan kepada pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir pada sekitar pukul 10 malam, penghujung April lalu.

Bagaimana saksi kanak-kanak ke-31 itu memberitahu, walaupun Zara Qairina kelihatan takut dengan ugutan itu namun tiada sebarang sentuhan berlaku terhadap remaja terbabit.

Dia memberitahu, sebelum insiden berlaku, Zara Qairina yang tinggal di Blok Blok A, Rabiatul Adawiyah pergi berjumpa dengannya di Blok B, Sumayyah itu untuk meminta maaf.

“Saksi berkata tujuan Zara datang adalah untuk meminta maaf mengenai sepucuk surat mengandungi kata-kata body shaming (memperlekeh badan) terhadap kawannya. Kata-kata ‘sok-sok orku’ bermaksud menyindir seseorang yang perasan kuat.

“Walaupun Zara Qairina meminta maaf tetapi saksi tersebut memberitahu dia tidak pasti sama ada Zara Qairina yang menulis surat tersebut tetapi yakin surat itu turut ditulis oleh seorang lagi pelajar junior.

“Ketika kejadian (Zara Qairina minta maaf), ada pelajar senior Tingkatan Empat melewati dorm tersebut dan bertanya apa berlaku. Saksi menerangkan tentang surat tersebut dan tujuan Zara Qairina meminta maaf.

“Seorang pelajar senior berteriak memanggil pelajar junior lain yang dikaitkan dengan surat tersebut. Senior Tingkatan Empat itu kemudian menasihati Zara Qairina dan pelajar junior tersebut agar tidak mengulangi perbuatan itu,” kata kenyataan media dikeluarkan pasukan peguam bela mewakili Noraidah Lamat iaitu ibu kepada Zara Qairina.

Saksi memberitahu, tidak lama selepas itu, Kak M kebetulan melalui dorm adiknya dan bertanyakan apa yang sedang berlaku sebelum diberi penjelasan.

“Setelah dimaklumkan, Kak M mengeluarkan kenyataan kepada Zara Qairina ‘Kau ini ah, kalau aku touch (sentuh) kau ni habis kau’. Para pelajar senior lain membawanya tersebut keluar untuk ditenangkan. Pada ketika itu, saksi nampak Zara Qairina kelihatan takut tetapi tidak menangis.

“Saksi berkata ayat tersebut cuma gertakan dan kakaknya tidak ada menyentuh mana-mana pelajar junior. Menurut saksi, maksud touch-touch ini adalah seperti dia macam akan pukul orang itu,” kata kenyataan tersebut.

Saksi berkata, selepas kejadian itu, dia ada bertembung dengan Zara Qairina dan remaja terbabit ada senyum kepadanya apabila mereka berjumpa.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman audio perbualan antara Zara Qairina dengan ibunya, Noraidah mengenai Kak M yang pernah mengeluarkan perkataan ‘kalau aku touch-touch kau ini, berdarah kau ini’ kepada remaja terbabit dan rakannya.

Prosiding inkues kematian Zara Qairina yang memasuki hari ke-34 bersambung 10 November ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN