KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak yang tinggal di blok sama dengan Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu terdapat pelajar senior tingkatan empat yang sudah lama menyasarkan (aim) remaja terbabit.
Menurut saksi kanak-kanak ke-21 itu, beberapa bulan sebelum kejadian Zara Qairina ditemukan terlentang dan tidak sedarkan diri di aras bawah Blok A Rabiatul Adawiyah, dia pernah melihat Allahyarham panggil oleh senior tingkatan empat ke dorm A3-7.
Bagaimanapun, saksi itu tidak pasti apa yang berlaku dalam dorm berkenaan tetapi ada terdengar bunyi Zara Qairina dimarahi.
Katanya, senior tingkatan empat tersebut sudah lama menyasarkan Zara Qairina tetapi dia tidak dapat mengingati identiti individu itu.
Saksi berkata, selepas kejadian pada awal pagi 16 Julai lalu, dia ada mendengar pelbagai cerita, namun menganggap ia hanya khabar angin.
Ujarnya, terdapat cerita bahawa Zara Qairina telah diumpan untuk masuk ke dorm A3-6 sebelum dimarahi, diteriak dan dimaki, namun tidak mengetahui siapakah yang berbuat demikian.
Menurut cerita yang didengar saksi, Zara Qairina dipanggil berkait dengan kes curi sehingga menyebabkan loker dan beg Allahyarham diselongkar.
Saksi juga mendengar Zara Qairina dimaki dan dimarahi dengan kata-kata ‘mencuri kan, best ka mencuri?’
Dalam pada itu, saksi kanak-kanak ke-20 memberitahu, hubungan Zara Qairina dengan pelajar lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha baik tetapi pernah mendengar beberapa pelajar perempuan seolah-oleh memperlekehkan Allahyarham.
Katanya, dia terdengar pelajar-pelajar itu menyatakan ‘inikah yang mahu jadi Badar (Badan Dakwah dan Kerohanian) itu, sudahlah kuat memaki’.
Saksi juga mendengar bahawa Zara Qairina tidak disukai oleh pelajar senior kerana dianggap berlagak, berikutan pada minggu pertama persekolahan Allahyarham dikatakan suka menjeling orang.
Pada prosiding hari ini, kedua-dua saksi kanak-kanak itu juga memberitahu Mahkamah Koroner bahawa mereka ada terlihat Zara Qairina mengintai dari dalam tandas.
Saksi berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.30 malam yang mana mereka ke tandas kerana salah seorang saksi sakit perut. Turut menemani mereka ialah dua lagi rakan tetapi menunggu di luar tandas.
Saksi menyatakan, tandas ketika itu cerah kerana lampu terpasang dan mereka melihat tangan dan sebahagian kepala dan muka Zara Qairina mengintai melalui pantulan di cermin ketika membasuh tangan.
Zara Qairina ketika itu dilihat pucat dan dipercayai memanjat mangkuk tandas kerana mereka terdengar bunyi.
Disebabkan keadaan tersebut, kedua-dua saksi berkenaan keluar mendapatkan rakan mereka yang berada di luar dan kembali ke dorm.
Risau dengan keadaan Zara Qairina yang masih belum keluar dari tandas, saksi pergi mendapatkan ketua dorm dan rakan yang lain tetapi tiada siapa yang bangkit kerana terlalu mengantuk. Saksi juga telah tertidur sekitar pukul 1.30 pagi.
Sekitar pukul 4.30 pagi, saksi-saksi memberitahu, keadaan di asrama menjadi kecoh dan ada yang memberitahu mereka bahawa Allahyarham terjun dari aras dua.
Bagaimanapun, mereka tidak percaya Zara Qairina berbuat demikian kerana baharu melihatnya di tandas beberapa jam sebelum itu.
Prosiding bersambung Isnin ini. -UTUSAN









