Zakat fitrah Kedah ditetapkan RM9 hingga RM23

Zakat fitrah Kedah ditetapkan RM9 hingga RM23

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM9, RM15 dan RM23 pada tahun ini, berbanding dua kadar tahun lalu.

Pengerusi LZNK, Datuk Seri Norizan Khazali berkata, penetapan kadar itu adalah berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam di Kedah.

Katanya, penetapan itu juga dibuat mengikut kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram (kg) beras.

“Kadar zakat fitrah yang ditetapkan adalah RM9 bagi beras tempatan, RM15 bagi beras import dan seumpamanya serta RM23 bagi beras basmathi dan seumpamanya,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan penetapan kadar Zakat Fitrah Kedah 2026 di sini, hari ini.

Norizan berkata, LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM13.5 juta berbanding RM12.9 juta tahun lalu, dengan pengagihan dijangka kepada 27,300 asnaf dalam kalangan fakir, miskin, mualaf dan fisabilillah.

“Bagi memudahkan orang ramai, LZNK menyediakan sebanyak 23 saluran bayaran secara dalam talian untuk menunaikan zakat fitrah pada tahun ini seperti portal dan aplikasi rasmi LZNK, e-wallet dan perbankan internet.

“Seramai 2,788 amil dan 183 agensi dilantik turut menggunakan kaedah digital seperti QR Code dan sistem MyAmil. Resit pembayaran akan diberikan secara digital, manakala kaedah kutipan kupon manual masih disediakan melalui ejen amil terpilih sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman berkata, kenaikan kadar zakat fitrah berbanding tahun lalu didorong oleh faktor peningkatan harga barangan termasuk beras.

“Kami difahamkan, kadar zakat fitrah di kebanyakan negeri lain juga akan bermula antara RM9 ke RM10 kecuali sebuah negeri yang mungkin kekal bermula pada kadar RM7 untuk beras tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, jumlah kutipan keseluruhan zakat dan lain-lain hasil di Kedah tahun lalu mencecah RM322.86 juta peningkatan RM18.05 juta atau 5.92 peratus berbanding 2024,  melepasi sasaran ditetapkan sebanyak RM318.88 juta.

Seramai 187,160 pembayar zakat direkodkan tahun lalu termasuk 42,174 pembayar baharu, dengan 87.34 peratus kutipan diterima secara tanpa tunai yang mencerminkan keberkesanan inisiatif pendigitalan dilaksanakan LZNK. 

Bagi prestasi agihan pula, LZNK mengagihkan sebanyak RM346.14 juta kepada lapan golongan asnaf di seluruh negeri itu, manakala jumlah kutipan sedekah yang direkodkan adalah sebanyak RM584,302.66 daripada 8,820 penyumbang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN