Kerajaan kekal pendirian kemasukan murid enam tahun

Kerajaan kekal pendirian kemasukan murid enam tahun

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH: Kerajaan kekal dengan pendirian untuk meneruskan pelaksanaan kemasukan murid prasekolah dan Tahun Satu pada usia lima dan enam tahun mulai 2027 walaupun terdapat keluhan dari beberapa pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak boleh lagi ketinggalan dalam sektor pendidikan memandangkan terdapat 137 negara sudah melaksanakan dasar sama.

Katanya, sektor pendidikan negara harus terus maju ke hadapan walaupun mungkin terdapat beberapa negara masih mengamalkan kemasukan Tahun Satu pada usia tujuh tahun.

“Biarlah dua tiga orang merengek ‘oh tak sedia lagi lah, (anak) belum matang lagi, masih minum susu’. Siapa hendak bantah, tak apa, (kerajaan) bersikap terbuka.

“Tetapi lebih 100 negara, mula persekolahan umur enam tahun. Mengapa kita harus ke belakang? Kita harus maju ke depan ya kalau ada masalah. 

“Saya pun tahu ada masalah hendak masuk sekolah, hendak perkembangan cepat memang ada masalah, tapi kita cuba selesaikan. Ini kita harus ambil pendekatan yang sangat positif,” katanya pada Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih, di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut berkongsikan hasrat sebenar beliau adalah untuk mewajibkan pelaksanaan persekolahan pada usia enam tahun namun dibantah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kalau ikut saya, saya hendak wajibkan (Tahun Satu pada usia enam tahun) tetapi kementerian kata sabar. Nanti wajibkan orang marah. Okay, jangan wajibkan tetapi saya hendak gerakkan, jangan ada anak kita ketinggalan,” katanya.

Menjawab keluhan orang Melayu di kampung akan ketinggalan dengan dasar pendidikan ini, Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu dikerahkan seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ketua kampung.

“Inilah masa kita kerahkan, jangan ada rakyat sama ada di bandar, di kampung dan desa (ketinggalan) untuk mendapatkan kemudahan ini. Kalau tidak kita ketinggalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×