Tiga juta maklumat penerima vaksin MySejahtera digodam

Tiga juta maklumat penerima vaksin MySejahtera digodam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 mendedahkan kewujudan satu akaun super admin yang dikesan telah memuat turun tiga juta maklumat penerima vaksin daripada aplikasi MySejahtera.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, semakan audit mendapati aktiviti itu bermula 28 Oktober hingga 31 Oktober 2021 dengan menggunakan pelbagai alamat Protokol Internet (IP).

Beliau berkata, ia hasil pene­muan audit berhubung pengurusan pendaftaran penerima vak­sin Covid-19 dan aplikasi MySejahtera di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Super admin itu didapati menggunakan capaian sama dengan admin vaksin termasuk memuat naik dan turun janji temu vaksinasi, penge­cualian vaksin dan rekod vaksinasi dalam pangkalan data MySejahtera secara pukal dan individu,” katanya dalam taklimat kepada media berhubung laporan itu di sini semalam.

Nik Azman turut mendedahkan, aplikasi MySejahtera cuba diceroboh sebanyak 1.12 juta kali mulai 27 Oktober 2021 dikesan menggunakan alamat IP 167.XX.XX.122

Beliau berkata, cubaan se­rangan siber terhadap aplikasi itu didapati mengancam kese­lamatan data pengguna yang berada pada aplikasi berkenaan.

“Semakan audit mendapati beberapa tindakan telah diambil oleh syarikat pengendali aplikasi itu termasuk menyahaktif IP berkenaan dan memasang peralatan Web Application Firewall (WAF) di cloud pada 1 November 2021,” katanya.

Katanya, pihaknya difahamkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sudah membuat laporan polis terhadap serangan itu dan akan mengkaji punca serangan berkenaan.

Beliau menjelaskan, tindakan diambil termasuk membatalkan akaun pengguna itu, menambah pengesanan anomali dengan menyekat permintaan berulang yang tinggi dari sumber sama dan membuat laporan polis pada 5 November 2021.

Jelasnya, dapatan lain ditemui termasuk mengesan 1,543 individu yang mempunyai antara dua hingga tujuh akaun MySejahtera melibatkan 3,108 MySJ ID berstatus aktif.

Nik Azman berkata, pihak­nya juga mendapati sebanyak 11 akaun pengguna Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah dibatalkan antara tiga hingga 63 hari selepas PPV tersebut ditutup.

“Kami juga mendapati 70 individu yang telah meninggal dunia mempunyai akaun aplikasi MySejahtera (MySJ ID) yang berstatus aktif,” jelasnya.

Katanya, secara keseluruhannya, program Pengurusan Pendaftaran Vaksin Covid-19 dan Aplikasi MySejahtera dilaksanakan dengan baik dalam membantu kerajaan menangani penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Jabatan Audit Negara (JAN) turut mendedahkan dua isu tertunggak yang belum diselesaikan pihaknya sehingga ke hari ini membabitkan tuntutan pampasan tanah bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA Terminal 2) dan pampasan tanah Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang.

Nik Azman berkata, isu tuntutan pampasan syarikat kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) bermula sejak 2016 dan ia masih di peringkat rundingan.

Beliau berkata, ada tiga isu masih dalam status tindakan dan langkah penyelesaian masih di peringkat rundingan antara kementerian dan syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×