Tidak perlu ‘koyak’ dengan ‘Tiktoker’, rakyat memang mahu perubahan - Utusan Malaysia

Tidak perlu ‘koyak’ dengan ‘Tiktoker’, rakyat memang mahu perubahan

IZIZAM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kemenangan bersih Perikatan Nasional (PN) di Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuktikan rakyat secara keseluruhan mahukan perubahan.

Bendahari PN negeri, Izizam Ibrahim berkata, kemenangan tersebut tidak ada mengena dengan ‘Tiktoker’ kononnya didakwa oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sebagai membuat fitnah terhadap kerajaan negeri BN dalam kempen dalam pilihan raya tersebut.

Kata Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri itu, selain orang muda, pengundi daripada saluran satu antaranya turut memilih PN dalam PRU15.

Ujarnya, sepanjang tempoh kempen PRU15, PN juga tidak menyerang BN khususnya dalam aspek pembangunan di negeri ini sebaliknya berulang kali menegaskan akan meneruskan projek sedia ada demi kepentingan rakyat.

“Azlan tidak perlu ‘koyak’ dengan ‘Tiktoker’ ini sebaliknya mereka juga boleh menggunakan medium tersebut untuk kempen. Dalam PRU15, menunjukkan rakyat mahukan perubahan dan terbukti apabila PN menyapu bersih 17 daripada 18 kerusi termasuk tiga Parlimen di negeri ini,” katanya.

Kelmarin, Azlan dalam hantaran di Facebooknya mendakwa PN negeri telah menggunakan golongan muda melalui aplikasi Tik Tok semasa kempen PRU15 lalu untuk berbohong, memfitnah dan memburuk-burukkan kerajaan BN sebelum itu.

Azlan berkata, salah satunya ialah menggunakan dua orang pemuda berasal dari Perlis untuk memfitnah dan berbohong bahawa tiada pembangunan yang dibawa oleh BN sejak 2013 hingga 2022 termasuk mengenai fitnah dan pembohongan mereka mengenai pembangunan di Padang Besar, Perlis.

“Tiada pembangunan pelancongan, perindustrian, pertanian dan macam-macam lagi. Rakyat Perlis ramai terpesona dengan fitnah dan pembohongan mereka.

“Jadi, saya nak tanya kerajaan PN sekarang bagaimana dengan fitnah dan pembohongan melalui Tik Tok semasa kempen PRU-15 dulu? Buktikan bahawa ini bukan fitnah dan pembohongan,” kata Azlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Sementara itu, Izizam yang juga Exco kerajaan negeri berkata, kerajaan PN tidak pernah mengaibkan kerajaan negeri sebelum ini atau mengungkit mengenai pentadbiran terdahulu.

“Sebagai kerajaan, tanggungjawab yang mana elok kita teruskan dan yang tak elok kita cuba cari jalan penyelesaian. Jika cari salah, sampai bila pun tidak habis dan sekarang masa untuk berkhidmat untuk negeri dan rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya