PRK Kuala Kubu Baharu: Pengundi India, Orang Asli penentu kemenangan PN - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: Pengundi India, Orang Asli penentu kemenangan PN

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kira-kira 6,280 pengundi India dan Orang Asli bakal menjadi penentu kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris
berkata, pengundi India berasakan tiba masanya mereka menyokong PN kerana bersuara tegas dan lantang demi rakyat.

Menurutnya, setakat ini, Kerajaan Perpaduan langsung meminggirkan harapan kaum India dan Orang Asli apabila soal pekerjaan, pendidikan, kos barangan, kebajikan dan masa depan mereka seolah-olah tidak sampai kepada mereka.

“PN semakin diyakini pengundi India dan Orang Asli, lebih-lebih lagi pengundi India yang mengharapkan parti MIC sudah tidak maknanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pengundi Melayu di DUN Kuala Kubu Baharu telah menetapkan PN sebagai suara rakyat masa kini dan hadapan.

“Berdasarkan isu semasa sekarang, seramai 12,700 pengundi Melayu di DUN itu tidak akan berdolak-dalik dengan kewibawaan PN berikutan parti Melayu dahulu, UMNO semakin lesu setelah bersama DAP.

“Tidak mustahil pengundi Melayu menunjukkan solidariti undi kepada calon PN memandangkan DUN Kuala Kubu Bharu di bawah Parlimen Hulu Selangor yang dimenangi wakil rakyat PN serta dua DUN lain iaitu Hulu Bernam dan Batang Kali juga ADUN PN.

“Perlu diingatkan, sewaktu PRN lalu, PN mendapat peningkatan undi 30.85 peratus sekaligus menunjukkan peralihan sokongan berlaku walaupun tewas.

“Pada masa ini, PN akan sasarkan untuk kurangkan undi majoriti bawah 1,000 undi walaupun bacaan undi majoriti sekitar 2,400 undi,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, PN mempunyai cara tersendiri mendekati pengundi Melayu terutama berkempen secara kelompok kecil dan menyantuni pengundi dengan kempen berfakta dan realistik.

Tambahnya, malahan berdasarkan isu ekonomi berkaitan perniagaan yang masih tidak menentu serta soal pendidikan, kos sara hidup dan penempatan yang masih dipersoalkan, jangkaan sebahagian besar kira-kira 8,300 pengundi Cina beralih kepada PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN