KUALA SELANGOR: Para pengundi di Tanjong Karang akan menggerakkan satu petisyen terhadap Ahli Parlimennya, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi kerana mendakwa dikhianati dengan keputusan beliau mengisytiharkan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan.
Gerakan tersebut didakwa akan dilakukan jika Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu tidak memberi sebarang reaksi terhadap bantahan dibuat penduduk di kawasan Parlimen berkenaan.
Timbalan Setiausaha PN Bahagian Tanjong Karang, Adib Amat Mustakim berkata, pengundi berasa kecewa dengan tindakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjong Karang itu yang terlalu jarang membuka pejabat khidmatnya serta bertemu rakyat.
“Kami kecewa pejabat khidmat rakyat tak pernah dibuka hampir setahun, beliau sendiri pun jarang bertemu rakyat, pergi ke surau dan masjid atau memenuhi undangan ke majlis-majlis tempatan.
“Lebih kecewa apabila mengenang penat, lelah, perit dan jerih kami bekerja untuk memastikan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November 2022 yang merupakan calon PN,” katanya pada perhimpunan aman di hadapan Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong Karang, semalam.
Lebih 50 pengundi Tanjong Karang berkumpul di hadapan pusat khidmat rakyat itu di Taman Sahabat, bagi menyerahkan memorandum namun ahi Parlimen berkenaan tiada dan pejabatnya ditutup.
Sebelum ini, Zulkafperi mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta-merta dengan rela hati atas alasan untuk menjamin kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan hidup rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini.
Dalam pada itu, Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Tanjong Karang, Haslina Hassan mendesak Dr. Zulkafperi meletak jawatan bagi membolehkan pengundi memilih pemimpin baharu. – UTUSAN










