Tiada pengalaman, tiada kerja

Tiada pengalaman, tiada kerja

Tengku Nor Aliah Tengku Alias (kiri) selesa bekerja melayan kanak -kanak di Taska di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tumpuan majikan kepada kakitangan baharu yang berpengalaman dalam mengambil pekerja didakwa punca utama golongan siswazah terus menganggur.

Memburukkan lagi keadaan, ada sesetengah majikan yang tidak mahu ‘melabur’ masa untuk melatih orang baharu khususnya dalam keadaan ekonomi penuh mencabar ketika ini.

Perkara itu dilalui Muhammad Farhan Mohd Fauzi, 26, yang sudah banyak kali memohon bidang berkaitan program pengajiannya sejak tamat pengajian pada 2020.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, lepasan sarjana muda perakaunan dengan kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, kebanyakan alasan tidak diterima majikan  adalah kerana kurang pengalaman kerja dalam bidang berkaitan.

“Mereka minta masuk firma mana-mana supaya ada pengalaman, tetapi mahu masuk firma itu pun tetap perlukan pengalaman. Jadi memang susah untuk lepasan universiti nak cari kerja, majikan pula tak mahu labur masa untuk latih orang baru.

“Kami bukan tak ada pengalaman, tetapi peluang itu yang tak ada. Walaupun tak ada pengalaman, tetapi ada ilmu, cuma tak boleh nak praktikkan lagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Muhammad Farhan berkata, selepas gagal empat kali temu duga daripada puluhan permohonan yang dimohon, dia kini memilih untuk bekerja sebagai penghantar barangan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Pendapatan sebagai penghantar ini pun bolehlah (selesa) sekadar cukup makan, kalau nak kira setimpal dengan kelayakan itu, memang tidaklah sebab ia berdasarkan komisen, tetapi ini saja cara yang ada buat masa ini.

“Selain mohon dengan sektor swasta, ada juga cuba melalui laman Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), tetapi dua kali gagal di peringkat temu duga. Mohon jadi akauntan di kilang pun kebanyakan mereka tak ambil siswazah lepasan sarjana muda.

“Bukan tak mahu cuba kerja lain daripada bidang, tetapi sayang bila belajar sampai empat tahun, tetapi tak dapat dimanfaatkan,” jelasnya.

Di KUALA NERUS, Terengganu, apa yang dilalui Tengku Nor Aliyah Tengku Alias, 26, juga masih gagal memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang pengajiannya.

Dia yang bergelar pelajar cemerlang kelas pertama dalam jurusan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, ternyata kecemerlangan itu tidak menjamin mendapatkan peluang pekerjaan.

Katanya, dia kini hanya bekerja sebagai tenaga pengajar secara sambilan di sebuah pusat asuhan kanak-kanak sejak tahun lalu selepas gagal dalam temu duga dihadiri.

“Ketika memohon kekosongan pegawai undang-undang sebuah agensi kerajaan, saya dipanggil temu duga tetapi permohonan itu tidak berjaya tanpa sebarang alasan,” jelasnya.

Tambah Tengku Nur Aliyah, paras gaji yang kurang kompetitif di Terengganu mendorong dia berhijrah ke Lembah Klang dan bekerja di pusat asuhan kanak-kanak berkenaan sejak 2021.

Di ALOR GAJAH, Melaka, iklan jawatan kosong yang bertebaran terutama di platform media sosial langsung tidak mencerminkan situasi sebenar dihadapi pencari kerja terutama graduan.

Muhammad Afiq Zulhelmi Karim, 27, mengakui buntu apabila masih belum ada syarikat memanggilnya untuk menghadiri temu duga, walaupun setiap hari dia memohon pekerjaan secara dalam talian.

Menurut alumni Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu, dia memohon sehingga 30 pekerjaan sehari yang berkaitan dengan jurusan Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Industri Automasi) sejak berada di semester akhir, namun sehingga kini belum membuahkan hasil.

MUHAMMAD AFIQ ZULHELMI KARIM

“Saya sudah membuat persediaan awal ke alam pekerjaan dengan mencari jawatan kosong ketika masih menjalani latihan industri.

“Setakat ini masih belum ada maklum balas daripada mana-mana syarikat, melainkan pemberitahuan permohonan saya sedang dalam penilaian. Bagi permohonan di agensi atau anak syarikat kerajaan negeri, kekosongan yang ditawarkan sangat sedikit biasanya antara satu dan dua jawatan sahaja,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, keadaan ekonomi semasa dikenal pasti menjadi faktor utama dalam isu berkaitan pengangguran dalam kalangan siswazah.

Katanya, ini kerana peluang pekerjaan hanya akan bertambah atau berkurang bergantung kepada situasi ekonomi semasa.

Jelasnya, sekiranya ekonomi sama ada di seluruh dunia dan Malaysia diunjurkan menurun, maka peluang pekerjaan sudah boleh dijangkakan berkurang.

“Kedua adalah faktor keupayaan individu itu bersaing dengan rakan-rakan yang lain. Adakah mereka misalnya boleh berkomunikasi sama ada Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris dengan lancar, mempunyai kepemimpinan, keyakinan dan pengalaman dengan industri? Jadi itu faktor melayakkan seseorang itu mempunyai merit atau tidak berbanding orang lain.

“Faktor ketiga kursus universiti. Betul ada kursus universiti yang telah sekian lama disampaikan dan masih dikekalkan sehingga hari ini, maksudnya ditawarkan dari tahun 80-an dan 90-an, dan tidak membuat apa-apa penambahbaikan kepada kursusnya.

“Kalau kursus itu tidak diubah suai mengikut keperluan dan keadaan semasa, maka graduan sememangnya akan sering ketinggalan. Sebab itu selalu dicadangkan kursus disemak antara tiga hingga lima tahun, dan institut pengajian tinggi awam (IPTA) memang buat amalan semakan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Presiden Persatuan Akademik Universiti Awam (MPPA), Ahmad Faisal Mohamed Fiah pula berpendapat, unjuran pengambilan semula bagi mana-mana bidang mungkin boleh disemak semula dan bukan hanya mengekalkan jumlah pengambilan yang sama pada setiap tahun.

Katanya, ia bagi mengelakkan graduan terpaksa bersaing dengan terlalu ramai graduan yang dilahirkan.

“Bakal-bakal graduan pula sebelum pilih sesuatu program itu sebaiknya berpandukan kepada tiga aspek iaitu minat, kemampuan dan peluang pekerjaan. Ketiga-tiga kena selari, kalau minat, tetapi tak ada peluang pekerjaan nanti akan lebih menyukarkan juga,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN