Tiada bukti siasatan SPRM terhadap Hakim Nazlan berniat baik - Tengku Maimun - Utusan Malaysia

Tiada bukti siasatan SPRM terhadap Hakim Nazlan berniat baik – Tengku Maimun

TENGKU MAIMUN TUAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada apa petanda yang menunjukkan bahawa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dibuat dengan niat baik dan mengikut protokol yang sepatutnya.

Sebaliknya, siasatan tersebut yang dibuat tanpa sebarang rundingan dengan badan kehakiman telah menimbulkan syak wasangka memandangkan ia dilakukan pada sebelum pendengaran rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Persekutuan.

Hakim Mohd. Nazlan merupakan hakim yang menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapatinya bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn. Bhd. (SRC International).

“Dalam menunjukkan bona fide (niat baik) dalam menjalankan siasatan jenayah dan mengambil kira bahawa Ketua Hakim Negara ada ketua badan kehakiman, kami ingin mencadangkan bahawa apabila sesuatu siasatan dijalankan terhadap seseorang hakim, pihak berkuasa terbabit perlu merujuk kepada Ketua Hakim Negara terlebih dahulu.

“Ini tidak bermakna Ketua Hakim Negara mempunyai kuasa untuk menghalang atau memberhentikan sesuatu siasatan tetapi sekadar dimaklumkan apa yang sedang berlaku dengan hakim tersebut dan badan kehakiman secara keseluruhannya.

“Setelah diberitahu, Ketua Hakim juga boleh membuat keputusan sama ada untuk mengambil tindakan disiplin terhadap hakim tersebut. Ia juga membolehkan Ketua Hakim bekerjasama dengan pihak berkuasa terlibat dalam memastikan sama ada aduan jenayah yang diterima adalah tulen atau sebaliknya dengan berkongsi maklumat sama ada aduan serupa pernah diterima sebelum ini,” kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Satu lagi petunjuk bahawa sesuatu siasatan itu dijalankan dengan niat baik (bona fide) ialah melalui cara pelaksanaannya.

“Apabila seseorang hakim itu disiasat, imej tersebut tidak boleh dilenyapkan begitu sahaja. Oleh itu sebarang kenyataan yang dibuat berhubung siasatan tersebut adalah sesuatu yang tidak wajar terutamanya terhadap badan Kehakiman,” kata Hakim Tengku Maimun.

Beliau berkata demikian ketika membaca penghakiman ringkas sebulat suara panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan berhubung permohonan dua peguam dan seorang aktivis untuk merujuk dua persoalan perlembagaan berkaitan siasatan SPRM terhadap Hakim Mohd. Nazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Turut bersidang pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Dalam saman pemula yang difailkan Haris Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai selaku plaintif, mereka antara lain menuntut perisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ke atas Hakim Mohd. Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Menurut plaintif, siasatan ke atas Hakim Mohd. Nazlan adalah satu pelanggaran oleh cabang eksekutif, terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa. Mereka menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Terdahulu ketika membacakan penghakiman itu, Hakim Tengku Maimun menyatakan, tiada mana-mana hakim yang masih dalam perkhidmatan kebal daripada disiasat oleh pihak berkuasa mahupun didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, disebabkan mereka hakim yang masih berkhidmat, siasatan terhadap mereka mestilah dijalankan mengikut standard yang tinggi bagi mendukung doktrin kebebasan badan kehakiman.

“Melihat kepada fakta dan dokumen, adalah jelas bahawa siasatan terhadap Hakim Mohd. Nazlan dijalankan tanpa merujuk dahulu kepada kebebasan kehakiman atau kepada Ketua Hakim Negara.

“Cara SPRM mengumumkan siasatan itu melalui kenyataan media juga tidak kelihatan seperti menjaga kebebasan atau mengekalkan keyakinan terhadap badan Kehakiman. Hakikat bahawa Hakim Mohd. Nazlan disiasat melalui siasatan yang menimbulkan keraguan membolehkan siasatan sedemikian dibatalkan melalui semakan kehakiman,” katanya.

SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan, susulan laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tidak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Pada 29 September 2022, SPRM mengesahkan sudah menyelesaikan kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan dan hanya menunggu arahan yang akan diberikan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Semalam (23 Februari), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman memberitahu pada sidang Parlimen bahawa laporan SPRM terhadap Hakim Mohd. Nazlan berhubung pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009 telah diserahkan kepada Hakim Tengku Maimun.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh SPRM melalui surat bertarikh 21 Februari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.