LUMUT: Polis sedang mengesan tiga lelaki dipercayai warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam kejadian samun berkumpulan bersenjatakan parang di sebuah rumah di Pekan Gurney di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 6.27 pagi.
Katanya, suspek dipercayai memasuki rumah mangsa sebelum mengugut penghuninya menggunakan parang dan melarikan wang tunai serta barang kemas.
“Jumlah kerugian yang dialami mangsa dianggarkan sebanyak RM100,000, namun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, polis percaya suspek terdiri daripada tiga lelaki dan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan dan menangkap semua individu yang terlibat.
Katanya, sebelum ini empat kejadian dengan modus operandi yang sama dilaporkan berlaku di sekitar Ayer Tawar dan Pekan Gurney sepanjang tahun ini.
“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222 atau hotline WhatsApp 017-682 8005,” katanya. – UTUSAN










