Tebus maruah UMNO atau ‘dibuang’

Tebus maruah UMNO atau ‘dibuang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas UMNO kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pergerakan sayap Pemuda dan Puteri parti memainkan peranan penting dalam menebus kembali maruah parti itu agar kekal relevan dan diterima rakyat.

Persoalan utama mengenai kepimpinan UMNO perlu bijak diatasi supaya ia tidak lagi menjadi naratif utama sebagai serangan pada PRU akan datang.

Malah, kerjasama menerusi Kerajaan Perpaduan juga satu lagi naratif baharu yang perlu diperjelaskan kepada rakyat kerana hakikatnya, tidak ramai yang boleh menerimanya setelah dipasak dalam pemikiran orang Melayu khususnya mengenai anti-DAP yang merupakan sebahagian dalam kerajaan hari ini.

Meskipun UMNO mempunyai masa empat tahun setengah untuk dinilai rakyat, namun kepimpinan parti pada hari ini amat penting sebagai cerminan sama ada diterima rakyat atau sebaliknya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Khaidhirah Abdul Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira berkata, beliau kali ini tampil mencalonkan diri dengan meletakkan agenda mengukuhkan dalaman sayap terlebih dahulu sebelum ‘berperang’ pada PRU16.

“Sudah tentu kali ini cabarannya berbeza dengan dulu, sewaktu 2018 kita pertama kali menjadi pembangkang, dan kali ini pertama kali juga bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dua tahun saya memikirkan keupayaan diri untuk bertanding jawatan Ketua Puteri, saya melihat dari pelbagai kapasiti.

“Keutamaan saya adalah mengukuhkan sayap parti dan selesaikan dulu masalah dalaman sayap dengan pantas, kemudian kita akan bersedia untuk menarik sebanyak mungkin orang muda kembali kepada UMNO,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menjelaskan ia bukan suatu tugas yang mudah, apatah lagi setelah pembersihan secara besar-besaran dibuat dalam UMNO dengan memecat dan menggantung beberapa ahli, Dira berkata, beliau sebagai pemimpin harus berhadapan dengan situasi tersebut dan menjelaskan kepada sayap serta anak muda supaya faham akan tindakan parti berkenaan.

Agree to disagree dalam kepimpinan ini tiada masalah, cuma pentingnya untuk kita faham macam mana cara untuk mendekati pemimpin, ia ada autokrasi, demokrasi. Kita sebagai orang muda kena faham dan perlu cepat belajar.

“Tiada masalah untuk suarakan pendapat, tetapi biar kena caranya. Kita bukan parti yang ditubuhkan utntuk jatuhkan sesiapa, tetapi kita adalah parti satu bangsa dan agama, ada adat dan adab,” jelasnya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan tiga nama disebut-disebut bertanding merebut jawatan Ketua Puteri UMNO yang dikosongkan Datuk Zahida Zarik Khan pada pemilihan parti itu kali ini.

Selain Dira, pemimpin yang dikatakan berminat merebut jawatan ialah Dr. Masliha Harun dan Nurul Amal Mohd. Fauzi.

Begitu juga dengan calon Ketua Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, di mana beliau mahu mengubah Pemuda UMNO yang kini dilihat tidak progresif kerana mengambil langkah selamat untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang bersifat kebenaran untuk parti.

“Pemuda hari ini terlampau apologetic, hari ini Pemuda kena tegas, berani di samping menyatakan pendirian mereka, sebab hari ini Pemuda kalau sampai takut hendak keluar kenyataan sebab bimbang dipenjara dan sebagainya, tidak boleh. Kita perlu pertahankan prinsip, saya pernah masuk lokap kerana pertahankan parti,” katanya.

Armand sebelum ini menyatakan secara jelas hasratnya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan kali ini setelah ia dikosongkan oleh Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN