Syarikat besar monopoli geran animasi?

Syarikat besar monopoli geran animasi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Syarikat-syarikat kecil industri animasi negara bakal gulung tikar berikutan gagal mendapat geran daripada Perbadanan Ekonomi Di­gital Malaysia (MDEC) untuk me­laksanakan projek produksi.

Ini apabila hanya beberapa syarikat gergasi tertentu di­dakwa menerima geran ber­terusan MDEC untuk melak­sa­nakan projek produksi, se­­dang­kan ada sekurang-ku­rangnya 25 lagi syarikat pemula lain didakwa dinafikan hak untuk memperoleh bantuan tersebut.

Selain itu, syarikat kecil tu­­rut dikenakan syarat tidak masuk akal untuk mendapat geran iaitu setiap karya mesti berstatus ‘antarabangsa’ iaitu karya berkenaan perlu me­nembusi pasaran antarabangsa terlebih dahulu, sedangkan mereka baru bertatih dalam negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Animasi Malaysia, Amir Ham­zah Hashim berkata, pihaknya menerima banyak keluhan da­ripada syarikat-syarikat kecil yang mahu menapak dalam industri itu setelah berkali-kali memohon geran terbabit.

Bagaimanapun, mereka ti­dak diberi peluang dalam sesi pembentangan sekali pun dapat meyakinkan panel pemilihan untuk melayakkan mereka menerima geran.

Situasi itu jelas beliau, menyebabkan ada antara syarikat pemula tidak mampu bertahan kerana kos pembikinan animasi amat tinggi sekali gus menyebabkan syarikat gulung tikar walaupun karya mereka berpotensi untuk ‘dijual’.

Katanya, antara syarat tidak masuk akal yang dikenakan panel penilai bagi permohonan geran ialah setiap karya mesti berstatus ‘antarabangsa’ iaitu karya berkenaan perlu menembusi pasaran antarabangsa terlebih dahulu, sedangkan mereka baru bertatih dalam negara.

“Kita boleh lihat sendiri bagaimana syarikat-syarikat kecil memohon geran tetapi tidak dapat, sedangkan syarikat besar berterusan menerima geran. Timbul persoalan apakah kriteria pemilihan panel di MDEC? Ahli-ahli mereka bukan dalam kalangan industri, jadi bagaimana mereka nak membuat keputusan seadilnya,” soalnya di sini semalam.

Antara geran yang disediakan MDEC ialah geran pembangunan bernilai sehingga RM300,000 serta geran pembangunan filem (sehingga RM500,00); geran produksi bernilai sehingga RM250,000; dan geran IP pemasaran dan lesen sehingga RM500,000.

Pada 2019, industri kreatif termasuk kandungan kreatif digital seperti animasi, permainan digital, media interaktif dan komik digital menyumbang sebanyak RM29.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala sejumlah RM31.9 bilion disasarkan pada 2025.

Di peringkat global, nilai pasaran industri kreatif dan kandungan digital memberi pulangan sehingga RM977.8 bilion pada tahun lalu.

Amir tidak mempertikaikan pemberian dana kepada syarikat besar kerana industri animasi di Malaysia masih belum lagi kukuh dan memerlukan sokongan daripada MDEC untuk bergerak ke peringkat lebih tinggi, namun hak syarikat lain untuk sama-sama meningkat naik tidak boleh dinafikan.

Beliau berkata, pelbagai alasan dikemukakan untuk menolak permohonan antaranya syarikat terbabit tidak kukuh, tidak cukup tenaga kerja termasuk kononnya tidak mencapai tahap antarabangsa itu.

Kata beliau, secara logiknya, setiap animasi yang mahu memasuki pasaran antarabangsa perlu kukuh dalam negara terlebih dahulu dan karya animasi itu mesti diterima masyarakat negara ini sebelum dibantu untuk berkembang ke luar negara.

“Banyak syarikat boleh buka produksi tetapi tidak lama boleh bertahan sebab projek animasi tak banyak di Malaysia, stesen televisyen pula tidak banyak yang mahu menyiarkan karya itu. Jadi sokongan dana ini penting.

“Kita bersetuju MDEC bagi bantuan kepada syarikat besar dalam bentuk yang sesuai, tetapi dalam masa sama persediaan geran kerajaan ini perlu disusun juga kepada syarikat pemula. Bagaimanapun, perkara ini tidak berlaku,” katanya.

Amir berkata, beliau tidak terkejut jika ada dakwaan wujudnya kartel yang memonopoli geran animasi disediakan kerajaan dan perkara itu tidak dinafikan pihak MDEC sehingga kini sekali gus memberikan persepsi benar dalam masyarakat.

Ini termasuk katanya, ahli-ahli panel pemilihan yang meluluskan projek itu dikhuatiri mempunyai kepentingan dalam memberikan projek kepada syarikat ‘kawan-kawan’.

Beliau pernah membuat aduan berhubung perkara ini kepada pihak kerajaan termasuk merombak semula pengurusan MDEC supaya tidak ada pihak tertentu boleh mengawal industri dan memastikan tidak berlaku ketirisan agar mewujudkan ekosistem lebih terjamin.

“Kita tak kata perkara itu sahih, tetapi seolah-olah mewujudkan persepsi bahawa semacam ada kartel, maksudnya pusing-pusing orang sama juga dapat (geran). Saya faham tujuan dia untuk dibantu kembangkan lagi kerana industri animasi tidak sama dengan wayang cereka kerana kos pembikinan amat tinggi.

“Tetap syarikat kecil janganlah dinafikan hak dana dia. Kalau sudah dapat dana geran pembangunan berjumlah RM50,000, empat tahun tunggu geran untuk dapat peringkat seterusnya, bila minta geran lagi, dia tengok pula syarikat tu sudah dapat,” katanya.

Mengikut semakan Utusan Malaysia di laman web MDEC, fail penerima geran yang lepas tidak dapat diakses dan menunjukkan tanda error.

Beliau berkata, peluang untuk animasi disiarkan di televisyen juga amat sukar dan hanya RTM satu-satunya stesen yang mengeluarkan tawaran untuk menerbitkan animasi.

Bagaimanapun katanya, slot yang diberikan amat terhad termasuk menetapkan karya animasi Malaysia bercorak anime Jepun menyebabkan banyak syarikat susah untuk mendapatkan tawaran itu.

Justeru, beliau mahu kerajaan memperbanyak slot animasi stesen televisyen milik kerajaan kerana stesen televisyen swasta lebih berminat membeli karya animasi luar negara secara pukal memandangkan kos lebih murah.

“Kos animasi Malaysia mahal, untuk penyiaran satu musim yang ada 13 episod bernilai RM700,000. Tetapi kalau kerajaan bantu dengan kerjasama MDEC dan stesen penyiaran untuk memberi dana kepada syarikat animasi disiarkan di televisyen.

“Apabila banyak syarikat animasi dapat banyak peluang terbitkan animasi, maka ekosistem boleh berkembang, maka graduan universiti dalam bidang animasi sekitar 2,000 ke 5,000 orang setahun dapat dijamin kerjaya mereka,” katanya.

Beliau turut memberitahu, pihak persatuan jarang dilibatkan dalam perbincangan dengan MDEC dan kementerian yang diketahui hanya syarikat-syarikat besar dipanggil untuk mendapatkan pandangan.

Dianggarkan sekitar 2,000 juruanimasi tempatan termasuk pensyarah dan penggiat industri kreatif pada ketika ini yang boleh menyumbang kepada kemajuan ekonomi digital negara, tetapi perlu dibantu sewajarnya secara menyeluruh untuk terus bertahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN