KUALA LUMPUR: Kehadiran syarikat-syarikat asing di negara ini boleh membantu menyediakan banyak peluang kerja profesional khusus untuk siswazah tempatan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA), Datuk Foo Yong Hooi berkata, sehubungan itu prosedur kemasukan syarikat asing perlu dilonggarkan supaya lebih banyak yang akan menanam modal di negara ini.
“Kerajaan perlu menarik pelaburan asing dengan banyak sekali gus menempatkan syarikat asing di dalam negara yang membuka peluang pekerjaan dalam bidang profesional,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam pada itu juga, katanya, wujud kekangan untuk menyediakan pekerjaan kerana berlaku ketidaksepadanan atau mismatch antara kelulusan dan peluang ditawarkan.
“Pekerjaan sedia ada dalam negara kebanyakannya tidak sesuai dengan kelulusan pendidikan warga tempatan,” katanya.
Menurutnya, sektor-sektor perkilangan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan memerlukan ramai tenaga pekerja.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, hampir dua juta pencari kerja menggunakan platform pekerjaan negara, MYfutureJobs dari 2020 hingga 10 Februari lalu namun yang berjaya mendapat kerja dalam tempoh itu cuma 776,742 orang.
Daripada 776,742 tersebut, 251,815 membabitkan pemohon dalam kalangan belia atau graduan universiti.
Kerja-kerja yang ditawarkan dalam portal tersebut termasuk kerja-kerja di stesen minyak, jurujual pasar raya, pelayan di restoran dan tukang cuci.
Yong Fooi berkata, kerajaan juga harus mengkaji keperluan pekerjaan mengikut kawasan dan negeri bagi mengelak longgokan pekerjaan yang tertumpu di satu tempat.
“Mengikut data yang saya terima, Kelantan dan Terengganu adalah negeri yang paling memerlukan peluang pekerjaan.
“Kita perlu faham bukan semua individu berminat atau mempunyai pilihan untuk berhijrah. Data perlu dikumpulkan supaya peluang pekerjaan bersesuaian dengan jumlah penduduk di setiap kawasan dalam negara,” katanya. – UTUSAN










