PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pasangan suami isteri kerana disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan bayaran komisen sebuah program merekrut pelajar sekolah menengah untuk melanjutkan pelajaran di sebuah universiti swasta berjumlah hampir RM2 juta.
Sumber berkata, suspek lelaki yang juga bekas pengurus pemasaran di universiti tersebut disyaki bersubahat bersama isterinya yang juga seorang suri rumah melakukan tuntutan palsu sekitar tahun 2015 hingga 2020.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai ditahan kira-kira pukul 11 pagi manakala isteri suspek yang juga berusia 40-an ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini, semalam.
Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Februari dikeluarkan terhadap suspek lelaki tersebut oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN