PETALING JAYA: Permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan keterangan individu di Taiwan dan United Kingdom (UK) bagi membantu siasatan kes pelaburan berjumlah RM1.1 bilion masih dalam penelitian Pejabat Peguam Negara (AGC).
Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar berkata, pihaknya sedang meneliti permohonan berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut prosedur serta perundangan antarabangsa.
“Perkara ini sedang dalam tindakan. Terdapat beberapa proses yang perlu dipatuhi selaras dengan keperluan undang-undang antarabangsa sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada 20 Mei lalu, SPRM memaklumkan sedang mendapatkan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) bagi memperoleh keterangan beberapa individu di Taiwan dan UK untuk membantu siasatan kes pelaburan RM1.1 bilion membabitkan Kementerian Ekonomi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman memaklumkan pihaknya berhubung dengan AGC bagi mendapatkan bantuan berkenaan susulan siasatan yang turut membabitkan bidang kuasa dua negara itu.
Abdul Halim berkata, proses itu diperlukan bagi membolehkan keterangan dan maklumat daripada individu terbabit diperoleh secara sah mengikut peraturan serta undang-undang antarabangsa.
Pada 16 Februari lalu, SPRM membuka kertas siasatan susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek membabitkan kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited dari UK.
Perjanjian itu dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










