Jangan anggap ‘duit kopi’ perkara biasa - KP SPRM

Jangan anggap ‘duit kopi’ perkara biasa – KP SPRM

ABDUL HALIM AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Generasi muda perlu memahami bahawa istilah seperti ‘duit kopi’ merupakan satu bentuk rasuah dan tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa dalam masyarakat, sebaliknya perlu dibanteras sejak di bangku sekolah lagi

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, pendidikan awal mengenai pencegahan rasuah perlu diperkasakan bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah menerusi pendekatan lebih menyeluruh.

Menurutnya, SPRM melalui Bahagian Pendidikan Masyarakat akan terus membawa mesej antirasuah kepada pelajar sekolah dan mahasiswa universiti secara berperingkat.

“Apabila mereka melangkah ke sekolah rendah dan menengah, kita akan beri penekanan khusus untuk membanteras istilah seperti duit kopi.

“Ini penting supaya mereka faham bahawa perbuatan ini adalah rasuah,” katanya ketika melakukan kunjungan hormat di Istana Kehakiman semalam.

Katanya, strategi pendidikan itu akan diteruskan sehingga ke peringkat universiti bagi memastikan mesej pencegahan rasuah tidak terhenti selepas tamat persekolahan.

Abdul Halim berkata, SPRM ketika ini telah menubuhkan Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) di peringkat universiti dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu menjadi pelopor universiti awam di negara ini.

Menurutnya, SPRM turut mengakui terdapat keperluan untuk mempertingkatkan publisiti dan kualiti penyampaian mesej antirasuah supaya lebih berkesan kepada masyarakat.

Jelas beliau, pendekatan konvensional seperti edaran poster dan ceramah akan diperluaskan kepada sesi dialog serta forum interaktif bersama masyarakat.

“Saya amat menggalakkan majlis dialog supaya kita boleh mendapatkan input terus daripada rakyat.

“Kita mahu tahu jangkaan masyarakat terhadap SPRM supaya maklum balas yang diperoleh boleh digunakan untuk menambah baik sistem sedia ada,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, SPRM dan badan kehakiman turut komited memperkukuhkan kerjasama strategik bagi memastikan kelancaran proses perbicaraan kes rasuah termasuk menyokong penubuhan Mahkamah Khas Rasuah di Kuala Lumpur.

Katanya, kolaborasi antara agensi penguat kuasa dan mahkamah penting bagi mempercepatkan proses pendengaran kes selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung pemerkasaan sistem kehakiman negara.

Dalam pada itu, Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Panglima Wan Ahmad Farid Wan Salleh menggalakkan penubuhan Kadet SPRM di sekolah sebagaimana badan beruniform lain seperti Kadet Polis dan Kadet Tentera.

Katanya, langkah itu mampu menanam sifat benci kepada rasuah sejak usia muda dengan mengambil inspirasi daripada sistem pendidikan di Jepun yang menitikberatkan aspek integriti dan kesopanan.

“Jika kita mahu mendidik, ia perlu bermula di peringkat sekolah dan saya menggalakkan penubuhan Kadet SPRM supaya dapat menanamkan sifat kebencian kepada rasuah daripada pendidikan awal sekolah.

“Ketika ini, masyarakat melihat SPRM memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan sedangkan usaha-usaha pencegahan telah banyak dilaksanakan oleh SPRM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN