SPRM beku 74 akaun bernilai RM11 juta

Tipu pelaburan, kripto: SPRM beku 74 akaun bernilai RM11 juta

SPRM menahan tiga individu termasuk seorang pensyarah wanita untuk disiasat berkaitan tuntutan palsu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 74 akaun milik individu dan syarikat bernilai RM 11 juta dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terlibat sindiket penipuan pelaburan dan mata wang kripto.

Pembekuan akaun berkenaan hasil penahanan 11 individu yang ditahan SPRM menerusi Op Tropicana yang membongkar kegiatan penipuan pelaburan antarabangsa pada minggu lalu.

Memberitahu Utusan Malaysia, Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, hasil risikan dan maklumat suspek yang ditahan, satu lagi serbuan dilakukan terhadap sebuah premis di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan pelaburan yang didalangi warga United Kingdom itu.

Kata beliau, premis itu dipercayai masih dalam proses pengubahsuaian bagi dijadikan salah satu pusat panggilan atau ‘boiler room’ untuk menipu mangsa warga Malaysia dan warga negara asing.

Selain itu, kata beliau, lokasi berkenaan turut dijadikan pusat operasi bagi mencuci wang hasil aktiviti haram menerusi urusniaga mata wang kripto.

Dalam serbuan ini, SPRM menemukan kira-kira 200 unit peralatan elektronik seperti monitor, unit pemprosesan pusat (CPU), komputer riba, mesin pengira wang tunai serta wang tunai yang masih belum ditentukan jumlahnya di dalam sebuah peti besi.

“Serbuan hari ini membabitkan seramai 14 pegawai SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya di sini hari ini.

Operasi susulan hari ini  turut dijalankan bersama penglibatan beberapa petugas media dan hasil pemerhatian mendapati  pejabat itu dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di setiap sudut.

Prremis berkenaan juga dilengkapi 12 unit CCTV bagi sebuah ruang kerja malah kesemua tingkap ditutup dengan pelekat.

Pada 21 Februari lalu, SPRM membongkar sindiket penipuan pelaburan dengan menyerbu 24 lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang membabitkan tiga pusat panggilan iaitu dua di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang. 

Selebihnya pula adalah syarikat-syarikat serta kediaman ahli-ahli sindiket.

Pembongkaran sindiket ini adalah menerusi kaedah risikan ‘Intelligence Base Investigation’, Financial Investigation, Covert Operative, Undercover dan juga beberapa kaedah siasatan digunakan. 

Risikan juga dilakukan dengan kerjasama antara agensi di Australia serta beberapa negara luar.

Ahli-ahli sindiket ini terdiri daripada warga Australia, Britain, Afrika Selatan dan Filipina. Mereka dipercayai telah menipu mangsa yang terdiri daripada warga Australia dan Britain dengan memperdaya mereka untuk membuat pelaburan yang tidak wujud.

Utusan Malaysia difahamkan, modus operandi penjenayah ini ialah dengan mencari mangsa menerusi media sosial dan panggilan telefon. 

Ahli sindiket akan menghubungi mangsa setelah mereka klik pada pautan untuk mendaftar dalam syarikat pelaburan serta memasukan butiran peribadi.

Mangsa-mangsa akan diyakinkan untuk melabur ke dalam syarikat pelaburan yang tidak wujud dan syarikat tersebut hanyalah rekaan semata-mata. 

Penjenayah penipuan ini dipercayai  memperoleh kira-kira RM150 juta (AUD50 juta) hasil menipu mangsa-mangsa terlibat sejak 2019 sehingga sekarang.

Selain itu, siasatan SPRM  tidak menolak kemungkinan sindiket telah menyogok pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan ahli dan memudahkan urusan sindiket menjalankan operasi ‘boiler room’ mereka di negara ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya