SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya pihak berkuasa itu mahu menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan atau ketirisan dalam perbelanjaan universiti.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, beliau terbuka bekerjasama dengan pihak berkuasa berkenaan bagi memastikan integriti institusi pengajian tinggi itu terpelihara daripada tindakan-tindakan tidak bertanggungjawab.
“Saya tidak sebut UiTM Holdings, tetapi UiTM secara keseluruhan. Saya ok, sebenarnya bersedia kalau siapa-siapa hendak bertanya, saya sedia. Bersedia beri kerjasama dengan semua orang yang hendak tahu, tiada apa hendak ditutup. Kami telus dari segi pengurusan.
“Sebenarnya SPRM sudah tahu, mereka sudah mula menyiasat, tetapi mereka tidak masuk dekat induk UiTM, itu UiTM Holdings. Dari segi UiTM memang kita sudah lama buat kualiti audit dan audit kewangan pun sama. Kita sudah ada 23 audit bersih. Alhamdulillah, audit kewangan oleh Jabatan Audit Negara,” katanya ditemui Utusan Malaysia selepas melancarkan Smart Agropreneur Memperkukuhkan Bidang Keusahawanan Teknologi, di sini semalam.
Terdahulu akhbar ini melaporkan dakwaan menyatakan UiTM berdepan dengan pengurusan aspek kewangan yang lemah sehingga menyebabkan kebajikan mahasiswanya terabai.
Menurut sumber berkenaan, kelemahan tersebut membabitkan usaha menjana pendapatan terutamanya pelaburan anak syarikatnya, UiTM Holdings yang dilaksanakan tanpa menekankan aspek integriti dan tadbir urus berkesan.
Malah, susulan laporan berkenaan, Presiden Parti Bumiputera Perkasa (Putra), Datuk Ibrahim Ali tampil membuat laporan kepada SPRM menggesa universiti itu disiasat bagi memastikan integritinya terpelihara.
Dalam pada itu, Roziah turut memaklumkan, selain melalui UiTM Holdings, UiTM turut menjana pendapatan melalui pelbagai kajian dan pengkomersialan seperti penghasilan minyak wangi oleh penyelidik institusi itu sendiri.
“Kerajaan mengarahkan universiti mencari 30 peratus dana sendiri sejak 2017, jadi UiTM melakukan penyelidikan dan pengkomersialan. Yang terbaharu, penyelidik hasilkan minyak wangi dan mendapatkan pensijilan halal, jadi minyak wangi itu dijual. Apabila dijual, ia menghasilkan pendapatan sehingga ratusan ribu ringgit kepada universiti.
“Ada juga pengkomersialan penyelidikan robotik iaitu robotpreneur. Itu semua penyelidik kita yang hasilkan. Kita bawa pengkomersialan ini melalui satu unit khas. Kesemua barangan yang dikeluarkan melalui penyelidikan universiti sebahagiannya turut dijual melalui aplikasi penjualan dalam talian seperti Shopee dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN










