ARAU: Pas menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melakukan siasatan berpilih dengan menyasarkan parti tertentu sahaja dalam menangani kes rasuah yang didakwa berlaku pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, siasatan sama juga perlu dilakukan terhadap parti-parti lain agar memberi keadilan kepada semua pihak sekali gus mengelak siasatan berpilih.
“Saya tidak mahu komen lebih, tetapi kalau boleh periksa semua parti politik bukan satu parti politik sahaja. Siasatan jangan terpilih.
“Kalau akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibeku bagaimana dengan parti-parti lain? Kempen sememangnya memerlukan perbelanjaan bukan sekadar RM500 sahaja,” katanya.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, akaun bank Bersatu bernilai lebih RM40 juta dibekukan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, pembekuan itu dilakukan kira-kira dua minggu lalu selepas Bersatu dipercayai menerima lebih RM300 juta wang daripada dana pakej rangsangan ekonomi Covid-19.
Bagaimanapun, hanya RM40 juta masih berada di dua akaun bank Bersatu dan SPRM masih menyiasat baki RM260 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara tersebut kepada Utusan Malaysia namun enggan mengulas lanjut.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian yang beliau tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan gejala rasuah dan penyelewengan di bawah pemerintahan kerajaan perpaduan.
Sementara itu, Hashim berkata, isu berkenaan tidak memberi apa-apa kesan kepada Pas dan parti itu sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang siasatan. – UTUSAN










