CYBERJAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya menempatkan seramai 50,984 orang kurang upaya (OKU) ke alam pekerjaan sejak tahun 2020 sehingga Februari ini.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, ketika pandemik Covid-19, seramai 4,439 OKU turut memperoleh pekerjaan melalui program-program yang dilaksanakan termasuk inisiatif dan insentif kerajaan.
“Sejak Januari 2022 sehingga 20 Februari 2023, Perkeso telah menganjurkan 4,565 temu duga secara bersemuka serta karnival kerjaya untuk pencari kerja dan majikan yang berdaftar bagi memudahkan proses pengambilan pekerja.
“Dalam pada itu, Perkeso juga sentiasa menitikberatkan mengenai OKU menerusi tawaran jawatan kosong yang bersesuaian daripada majikan. Bagi program khusus untuk OKU, sebanyak 66 program temu duga telah dilaksanakan sepanjang tahun 2022, di samping program Disability Equality Training bagi meningkatkan tahap kesedaran majikan berhubung aspek penggajian OKU,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi penyerahan Anugerah Zero Project bagi kategori ‘Innovative Solutions’ kepada Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz sebagai meraikan kejayaan pertubuhan itu yang menerima anugerah berkenaan di Vienna, Austria.
Anugerah itu mengiktiraf Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs sebagai platform dalam talian yang memperbaiki kehidupan golongan OKU dengan menyediakan akses kepada peluang-peluang pekerjaan.
Mengulas mengenai pencapaian itu, Sivakumar berkata, ia adalah testimoni kepada usaha dan komitmen kementerian menerusi Perkeso dalam memperkukuh pasaran buruh yang progresif dan inklusif tanpa meminggirkan mana-mana golongan.
“Saya difahamkan platform MYFutureJobs adalah antara 71 pendekatan atau kaedah yang menggunakan ICT dari 42 buah negara yang mendapat pengiktirafan Zero Project pada tahun ini.
“Portal yang berasaskan teknologi Artificial Intelligence (AI) ini mampu meningkatkan ketepatan padanan pekerjaan untuk pencari kerja dan majikan serta telah memberi akses kepada hampir dua juta pencari kerja yang berdaftar di portal ini sejak tahun 2000 hingga kini.
“Malah, Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) Jumaat lalu juga meneruskan agenda pemerkasaan pasaran buruh secara inklusif di mana program insentif penggajian akan dilaksanakan bagi memastikan majikan menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk pelbagai golongan mudah terjejas,” ujarnya. – UTUSAN










