Seramai 3,569 calon duduki peperiksaan SPM di Perlis - Utusan Malaysia

Seramai 3,569 calon duduki peperiksaan SPM di Perlis

CALON yang menduduki SPM kelihatan keluar dari dewan selepas selesai menjawab soalan peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seramai 3,569 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di 35 pusat peperiksaan seluruh Perlis bermula hari ini sehingga 15 Mac depan.

Daripada jumlah itu, seramai 3,448 pelajar adalah calon sekolah manakala 121 lagi merupakan calon persendirian.

Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman berkata, sejumlah 3,076 calon terdiri daripada sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan manakala 290 lagi adalah melibatkan calon sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Untuk kali ini juga, terdapat 45 calon daripada sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian dan 37 calon daripada sekolah menengah agama rakyat,” katanya selepas meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau di sini hari ini.

Hadir sama, Pengetua SMK Arau, Noryah Md. Noh.

Dalam pada itu, Naharudeen berkata, peperiksaan SPM di negeri ini juga melibatkan seramai 225 orang petugas yang dilantik oleh Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan dalam memastikan proses pelaksanaannya berjalan lancar.

Ujarnya, pecahan petugas itu terdiri daripada lapan orang penyelia kawasan, 35 ketua pengawas, 35 timbalan ketua pengawas dan 147 pengawas.

“Setakat ini, dua calon juga akan menduduki SPM di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan dua calon lagi akan menjalani peperiksaan berkenaan secara pindah tulis.

“Pindah tulis ini adalah kaedah di mana calon perlu bercakap bagi memberikan jawapan yang akan ditulis oleh guru mereka,” katanya.

Di samping itu, Naharudeen turut menasihati calon dan petugas peperiksaan agar dapat menjaga kesihatan mereka dengan sebaiknya bagi menggelakkan daripada sebarang kesulitan.

Tambahnya, pihak terlibat juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan sentiasa melakukan rujukan terhadap jadual peperiksaan ditetapkan.

“Saya harap ibu bapa juga dapat membantu memantau anak-anak mereka sehingga tempoh peperiksaan SPM ini tamat,” katanya.-UTUSAN

-Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya