PETALING JAYA: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bumiputera berpeluang mengikuti laluan pantas menjadi akauntan bertauliah antarabangsa menerusi tajaan penuh sehingga RM150,000 di bawah program ‘Jom Explore! Why Not YP?’ 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju (YP), Ibrahim Sani berkata, program itu membantu lepasan sekolah memahami laluan memperoleh kelayakan profesional antarabangsa seperti Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales (ICAEW).
Beliau berkata, YP komited melahirkan bakat bumiputera berpotensi tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara melalui bidang perakaunan dan perkhidmatan perniagaan.
“Kelayakan profesional dalam bidang perakaunan dan perkhidmatan perniagaan adalah antara saluran paling berkesan untuk mencapai matlamat ini, bukan sahaja bagi individu, malah untuk keluarga mereka serta masa depan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
YP memaklumkan, program itu berjaya mencapai lebih 2,000 belia bumiputera di seluruh negara termasuk penyertaan di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut Ibrahim, program itu menyediakan laluan jelas kepada lepasan SPM untuk menjadi akauntan bertauliah dengan lebih pantas berbanding laluan konvensional.
“Program ini dirangka untuk menyediakan laluan yang jelas dan disokong secara menyeluruh bagi membantu lepasan sekolah melangkah ke arah menjadi akauntan bertauliah dengan lebih pantas berbanding laluan konvensional.
“Menerusi skim pembiayaan itu, pemohon berjaya layak menerima sokongan sehingga RM150,000 merangkumi yuran pengajian, kos peperiksaan, bahan pembelajaran serta elaun sara hidup bulanan sekitar RM1,000 sepanjang tempoh pengajian,” katanya.
Graduan program berpeluang memperoleh status keahlian affiliate seawal usia 21 tahun dengan gaji permulaan sekitar RM4,000 dan potensi pendapatan mencecah RM8,000 atau lebih dalam tempoh tiga tahun selepas memperoleh kelayakan.
Peserta terpilih akan mengikuti pengajian di institusi rakan kerjasama termasuk Sunway College, INTEC Education College, UOW Malaysia KDU College dan Tymba Education Group.
“Lebih 9,000 bakat Bumiputera sudah meraih manfaat daripada program perakaunan profesional YP, manakala agensi itu menyasarkan 2,000 lagi akauntan berkelayakan profesional tahun ini serta 5,000 akauntan bertauliah setiap tahun menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN










