Selangor proses warta Pusat Kawalan Kusta Negara  - Utusan Malaysia

Selangor proses warta Pusat Kawalan Kusta Negara 

Pusat kusta
BORHAN Aman Shah (kanan) meninjau galeri di Muzium Permainan Tradisional, Bukit Malawati, Kuala Selangor, Selangor.-UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor sedang dalam proses mewartakan Pusat Kawalan Kusta Negara Sungai Buloh bagi menjadikan bangunan itu sebagai tapak warisan kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan negeri, Borhan Aman Shah berkata, proses pewartaan itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Pewartaan itu menghadapi kesulitan sebelum ini kerana tanah pusat kusta berkenaan hak milik KKM (Kementerian Kesihatan).

“Namun, kita yakin ia akan segera diselesaikan dan diwartakan secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pembukaan Rasmi Muzium Permainan Tradisional di Bukit Malawati, hari ini.

Kerajaan Selangor sebelum ini memaklumkan akan membawa usul enakmen pewartaan bahan bersejarah di untuk dibahaskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Langkah itu bagi membolehkan kerajaan  negeri berhak untuk mewartakannya selain perlu mendapat persetujuan daripada Jabatan Warisan Negara ketika ini.

Jelas Borhan, pihaknya berdepan kesukaran mewartakan bahan atau tempat bersejarah kerana perlu mendapat persetujuan seumpama itu.

“Sebagai contoh, kerajaan negeri Melaka sudah mempunyai akta dan enakmen sendiri untuk mewartakan bangunan bersejarah.

“Justeru, kita mahu membawa enakmen pewartaan untuk dikuatkuasakan kerana hanya menjadi penasihat dan pemberi izin kepada Jabatan Warisan Negara selama ini,” ujarnya.

Tambah beliau, beberapa bangunan lama bersejarah di negeri ini sudah diwartakan bagi memulihara bahan bersejarah.

“Bangunan itu antaranya Istana Bandar di Kuala Langat dan Tapak Lombong Arang Batu, Batu Arang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya