PETALING JAYA: Keputusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak memaparkan lesen kenderaan motor (LKM) atau ‘road tax’ pada kenderaan dengan menggunakan mod paparan digital dikhuatiri akan dimanipulasi pihak tertentu termasuk untuk tujuan jenayah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, tindakan itu bakal membuka ruang kepada penjenayah untuk menggunakan kereta curi untuk melakukan tindakan melanggar undang-undang negara.
“Kalau sebelum ini, polis boleh periksa serta-merta jika maklumat LKM berbeza dengan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sealam berhubung mod paparan digital menggantikan pelekat LKM, beliau menambah, meskipun langkah itu baik kerana orang ramai tidak perlu lagi melekat lesen tersebut, ia mendedahkan kepada risiko manipulasi untuk menggunakan paparan digital palsu.
Namun beliau percaya agensi berkaitan akan dapat memastikan paparan yang ditunjukkan benar-benar tulen dan aplikasi digunakan tidak mudah diceroboh oleh pihak luar.
Sementara itu Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, tiada perbincangan dilakukan oleh kerajaan dengan persatuan pengguna berhubung langkah tersebut.
“Sebelum membuat sebarang keputusan, sepatutnya diadakan sesi townhall atau persatuan-persatuan pengguna dipanggil untuk memberi komen.
“Pada masa ini, kita tidak tahu bagaimana pelaksanaan ini akan dilakukan kerana ibaratnya kereta nanti tidak mempunyai ‘kad pengenalan’.
“Jika kereta kita dicuri, bagaimana kita hendak tahu atau bagaimana cara kita hendak menjejaki kereta itu,” katanya. – UTUSAN









