Anwar beri jaminan siasat kes Pandora Papers, perlu tekad politik  - Utusan Malaysia

Anwar beri jaminan siasat kes Pandora Papers, perlu tekad politik 

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan menyelesaikan isu melibatkan Pandora Papers yang mendedahkan beberapa pemimpin negara didapati menyimpan kekayaan di syarikat luar pesisir di luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kes Pandora Papers sedang dalam siasatan oleh pelbagai pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN).

Katanya, beliau setakat ini berpuas hati dengan siasatan yang sedang dijalankan menyaksikan pihak berkuasa telah memberi laporan kemajuan setelah memanggil individu terlibat dalam mengenal pasti bank-bank yang ditubuh di luar di mana wang bernilai ratusan dan jutaan ringgit itu disimpan.

“Dari mana sumbernya itu sedang dalam siasatan dan saya puas hati dengan langkah yang diambil tanpa mengira dari puak mana (mereka yang terlibat) dan harus ada tindakan tegas (terhadap mereka).

“Tetapi, untuk menghalang tindakan ini (menyimpan wang di syarikat luar pesisir) berterusan, itu sebab mengapa Kementerian Kewangan menetapkan supaya proses tender itu lebih telus, amalan menggunakan peluang kononnya atas membantu bumiputera, maka ‘disonglap’ mereka punya wang, ini tidak boleh diizinkan.

“Saya mahu jelaskan bahawa ada dasar membantu bumiputera boleh adakan tender terhad di kalangan syarikat bumiputera, itu tidak menghalang tetapi tidak boleh digunakan alasan membantu bumiputera untuk meminta syarikat itu memberi wang wang peribadi atau parti seperti mana amalan dilakukan sebelum ini. Saya memberi jaminan amalan ini,” katanya sewaktu sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai langkah yang sedang diambil kerajaan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti institusi dalam isu melibatkan Pandora Papers.

Kertas Pandora merujuk kepada kebocoran dokumen kewangan dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus syarikat shell dan firma pemegang amanah di kawasan cukai di seluruh dunia.

Dokumen itu didedahkan kepada Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ), yang seterusnya memberikan akses kepada rakan kongsinya, termasuk salah satu media tempatan di negara ini.

Beberapa nama ahli politik Malaysia didapati menyimpan kekayaan mereka di tempat bebas cukai.

Mereka sebelum ini masing-masing memaklumkan, bahawa akaun berkenaan telah digunakan untuk tujuan yang sah.

Mempunyai entiti luar pesisir tidak menyalahi undang-undang, tetapi dalam beberapa keadaan, amalan itu dikaitkan untuk mengelak atau menghindari cukai. Dalam kes lain, ia cubaan untuk mengekalkan kerahsiaan atas pelbagai sebab.

Dalam pada itu, kata Anwar, penyelesaian terhadap kes melibatkan Pandora Papers memerlukan tekad politik daripada kerajaan.

Katanya, kerajaan terdahulu tidak mempunyai tekad sama menyaksikan tiada siasatan yang dilakukan bermula isu Panama Papers (2010) hingga Pandora Papers (2017).

“Saya mohon Perdana Menteri ketika itu ambil tindakan kerana dengan laporan ratusan bilion yang dikeluarkan Bank Negara, bahkan kalau ikut GFI (Integriti Kewangan Global) itu sudah mencecah trilion dolar Amerika tetapi tiada siasatan berkesan pada masa itu.

“Perdana Menteri beri tumpuan jawatankuasa melibatkan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, PDRM, SPRM, Bank Negara, LHDN dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan.

“Tetapi, tindakan itu perlukan tekad politik yang jelas, tidak banyak suara termasuk Yang berhormat (Noraini) yang memohon supaya hal ini diambil tindakan secara serius dalam kerajaan terdahulu pun tidak diberi penekanan dari pemimpin politik,” katanya.

Katanya, jumlah wang bernilai berbilion dolar yang dibawa keluar dari negara ini untuk disembunyikan di bank dan akaun luar pesisir oleh pemimpin politik dan kumpulan peniaga adalah antara yang tertinggi di dunia.

Ia berdasarkan pendedahan laporan Integriti Kewangan Global (GFI) pada 2010, Pandora Papers Panama (2016) dan Pandora Papers (2017) mengenai akaun luar pesisir milik rakyat Malaysia di beberapa negara.

Beliau percaya sejumlah besar wang yang disimpan di akaun luar pesisir itu adalah hasil daripada aktiviti haram, termasuk yang membabitkan bekas pemimpin negara.

“Memang ada yang sebut beberapa negara besar lain seperti China, Arab Saudi dan sebagainya, tapi Malaysia itu ditingkat atas. Jumlah wang dalam laporan GFI sehingga pendedahan Pandora, Papers dari Malaysia itu agak tinggi berbanding jumlah penduduk dan kedudukan ekonomi.

“Maknanya, wang yang dibawa keluar dari Malaysia, yang kebanyakannya diperoleh daripada sumber yang dianggap haram itu agak terlalu tinggi bagi negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.