Peruntukan sekolah mesti tepati sasaran - Utusan Malaysia

Peruntukan sekolah mesti tepati sasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Proses transmigrasi dan urbanisasi yang menyumbang kepada perubahan demografi penduduk menyebabkan peruntukan daripada kerajaan untuk pembangunan sekolah-sekolah tidak menepati sasaran.

Ini kerana, perubahan tersebut menyebabkan sesebuah sekolah mengalami situasi kekurangan murid atau kemudahan bergantung kepada kedudukannya sama ada dalam bandar, sub bandar ataupun luar bandar.

Menurut Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Taqiyuddin Amini Abdul Satar, situasi tersebut perlu mendapat perhatian kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) supaya peruntukan disalur menepati sasaran.

“Ambil kira demografi penduduk yang mengalami proses transmigrasi dan urbanisasi dari kawasan kampung melalui penghijrahan ke bandar, pinggir bandar dan kawasan perindustrian. Justeru wujud ketidakseimbangan murid luar bandar yang menyebabkan berlaku lebihan kemudahan.

“Sebaliknya berlaku limpahan murid di kawasan bandar-bandar, sehingga tahap ada 11 kelas di bandar mempunyai 40 orang pelajar. Ini akan menyebabkan kualiti pembelajaran mungkin merosot.

“Ini juga menyebabkan ketidakcukupan kemudahan kerusi, meja dan peralatan pembelajaran, bahkan bilik-bilik darjah di bandar. Kerajaan perlu membuat kajian melibatkan sekolah-sekolah yang terkesan fenomena seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Belanjawan Madani 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu memperuntukkan RM2.3 bilion yang disasarkan meliputi naiktaraf bangunan serta infrastruktur di 380 buah sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui perolehan khas untuk kesegeraan. 

Ia juga turut melibatkan kerja penyelenggaraan kemudahan semua jenis sekolah seperti pembaikan tandas, pendawaian dan saliran sekolah serta menggantikan perabot dan peralatan asrama dan kelas yang using dan uzur. 

Taqiyuddin yang juga YDP PIBG Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang (Tahfiz Model Ulul Albab) menjelaskan, walau bagaimanapun jumlah itu jauh lebih sedikit berbanding keperluan sebenar yang dianggarkan sebanyak RM15.08 bilion meliputi 73 sekolah daif skala tujuh dan 1,238 sekolah daif skala enam.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan memperkasa PIBG dan pemegang taruh lain yang berperanan dalam sistem pendidikan dengan memberikan insentif pengecualian cukai kepada ibu bapa, guru mahupun pihak dermawan luar yang memberi sumbangan kepadanya.

“Kerana akhirnya sumbangan ini akan digunakan untuk membaiki dan membina prasarana, meningkatkan kecemerlangan dan kebitaraan sekolah yang secara tidak langsung membantu meningkatkan prasarana dan kemudahan di sekolah, kemenjadian murid dan meningkatkan Karamah Insaniah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya