Permohonan habeas corpus isteri wartawan Pakistan 20 Mac

Permohonan habeas corpus isteri wartawan Pakistan 20 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 20 Mac ini untuk pendengaran permohonan habeas corpus (penahanan salah) yang difailkan oleh isteri seorang lelaki warga Pakistan, Syed Fawad Ali Shah, bulan lalu.

Peguam R. Kengadharan yang mewakili isteri lelaki terbabit, Syeda Mehwish Bokhari ketika dihubungi media memaklumkan tarikh tersebut ditetapkan Timbalan Pendaftar Nik Nur Amalina Mat Zaidan pada pengurusan kes tersebut.

Pada 27 Januari lalu, Syeda memfailkan permohonan habeas corpus tersebut dengan menamakan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah kerajaan Pakistan, wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur, Thomas Albrecht, seorang timbalan penguasa yang hanya dikenali sebagai Kanden dan  Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Berdasarkan permohonan tersebut, wanita terbabit antara lainnya memohon agar suaminya yang didakwa seorang wartawan dibawa ke mahkamah dalam tempoh 24 jam selepas perintah mahkamah dikeluarkan.

Sekiranya suaminya telah dihantar pulang, Syeda memohon agar Syed Fawad dihantar semula ke negara ini dalam tempoh yang sama.

Wanita terbabit turut memohon agar defendan telah melakukan pelanggaran hak asasi manusia berdasarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mereka juga mendakwa bahawa defendan telah melakukan jenayah di bawah Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa untuk Perlindungan Semua Orang daripada Kehilangan Paksa serta mendakwa Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan kebebasan asas lain telah dilanggar.

Media sebelum ini melaporkan Syeda telah meminta bantuan untuk mengesan suaminya yang didakwa hilang di negara ini sejak 23 Ogos lalu.

Syed Fawad yang melarikan diri dari negara asalnya ke Malaysia pada 2009 untuk mendapatkan perlindungan, dikatakan memfokus laporan penyiasatan dengan banyak mendedahkan kes rasuah serta kehilangan orang yang didakwa berlaku di Pakistan.

Pada 3 Januari lalu, Saifuddin dalam satu sidang media mengesahkan bahawa Syed Fawad telah dihantar pulang ke Islamabad, Pakistan pada Ogos 2022 selepas menerima permohonan rasmi daripada Kedutaan Pakistan,

Beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan maklumat rasmi daripada Kerajaan Pakistan, Syed Fawad dikatakan adalah bekas anggota polis yang mempunyai beberapa kes disiplin.

“Beliau bagaimanapun memiliki keupayaan menulis dengan baik, jadi beliau banyak menulis yang menegur serta mengkritik kerajaan, dan akhirnya beliau digambarkan sebagai seorang wartawan,” katanya dalam laporan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya