Penjaga gajah parah diserang 'Talong'

Penjaga gajah parah diserang ‘Talong’

MUSBAHA Din menunjukkan kecederaan yang dialami di bahagian perut akibat diserang seekor gajah di Kampung Baru Sarang Lang, Kemasik, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang penjaga gajah di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, dekat sini, melalui detik cemas selepas diserang seekor gajah jantan berusia 13 tahun, yang menyebabkannya parah minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi Ahad lalu, Musbaha Din, 37, cedera di perut kirinya, selain mengalami pendarahan di beberapa organ dalaman selepas ditusuk gading gajah tersebut.

Menceritakan detik cemasnya, bapa kepada dua anak itu berkata, ketika kejadian, dia bersama tiga lagi rakan sekerja sedang memandikan gajah seberat 1.5 tan yang dikenali sebagai ‘Talong’ dan seekor lagi gajah dewasa lain. 

“Ketika saya dan kawan-kawan masuk ke dalam kandang, gajah tersebut hanya berkelakuan seperti biasa. 

“Bagaimanapun, ketika sedang mandikan Talong, binatang itu tiba-tiba bertindak agresif dengan meluru dan menyerang saya menyebabkan saya terhimpit di sebatang tiang,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Sarang Lang, Kemasik, di sini, hari ini.

Musbaha berkata, dia bernasib baik kerana sempat mengelak dan hanya terkena sebatang gading gajah tersebut. 

“Kalau saya tak sempat mengelak, saya tak tahu apa akan jadi, mungkin nyawa saya melayang kalau tertusuk kedua-dua gading gajah itu. 

“Kawan-kawan juga turut membantu dengan meredakan gajah tersebut supaya tidak lagi menyerang saya,” katanya yang tidak menyangka mamalia kesayangan yang dijaganya sejak 11 tahun lalu akan bertindak luar di kawalan. 

Musbaha berkata, serangan tersebut menyebabkan dia yang terpaksa menjalani pembedahan, menerima 15 jahitan di bahagian perut dan dirawat selama seminggu di Hospital Kemaman sebelum dibenarkan pulang Sabtu lepas. 

“Doktor beritahu tusukan gading gajah ini sehingga menembusi lapisan kedua perut. Masa kejadian, kedua-dua mata saya menjadi kabur berikutan pembuluh darah pecah, namun sekarang ini penglihatan saya beransur pulih. 

“Sekarang ini saya terpaksa berehat panjang dan mendapatkan rawatan susulan,” katanya. 

Musbaha yang telah berkhidmat di zoo tersebut hampir 13 tahun berkata, walaupun insiden itu tidak dapat dilupakannya, ia tidak mematahkan semangatnya dan dia tidak pernah serik untuk kembali menjalankan tugasnya apabila kesihatannya benar-benar pulih. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×