Penahanan 2 lelaki bongkar sindiket seleweng diesel - Utusan Malaysia

Penahanan 2 lelaki bongkar sindiket seleweng diesel

TANGKI tambahan berkapasiti 900 liter yang digunakan untuk mengisi diesel seleweng ditemukan di dalam sebuah kenderaan MPV jenis Toyota Estima dalam serbuan oleh KPDN Pulau Pinang di sebuah stesen minyak di Bukit Mertajam, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki diberkas selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi dalam dua serbuan berasingan oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, semalam.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, suspek pertama ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim, di sini, kira-kira pukul 5 petang ketika sedang mengisi minyak.

Katanya, hasil soal siasat tehadap lelaki berusia 30-an itu kemudian membawa kepada penemuan satu unit tangki simpanan tambahan berkapasiti 900 liter dalam kenderaan jenis Toyota Estima yang dipandunya.

Menurut Jegan, ketika diperiksa, terdapat kira-kira 300 liter diesel bersubsidi yang telah diisi ke dalam tangki simpanan tersebut.

“Kami (KPDN) percaya pemandu MPV (kenderaan pelbagai guna) itu mendapat upah ratusan ringgit setiap hari untuk membeli diesel-diesel dari beberapa buah stesen minyak khususnya di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPT).

“Diesel itu kemudian akan dihantar kepada kumpulan sindiket terbabit yang seterusnya akan menjual pula kepada pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Susulan serbuan itu juga, kata beliau, MPV berkenaan disita bersama beberapa barangan lain termasuk satu unit pam motor dan hos; satu unit telefon bimbit; wang tunai berjumlah RM300 serta diesel yang dirampas dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM41,345.

Sementara itu, katanya, seorang lagi lelaki diberkas ketika sedang mengisi diesel ke dalam sebuah lori di sebuah stesen minyak di Jalan Baru di sini, kira-kira pukul 9.40 malam tadi.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut terhadap lori itu kemudian menemukan sebuah tangki minyak diesel berkapasiti 2,000 liter di bahagian belakang (lori) dengan jumlah diesel dalam tangki tersebut ketika itu dianggarkan sebanyak 460 liter.

“Daripada maklumat yang kita terima, lelaki berusia 50-an itu dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek pertama yang ditahan.

“Mereka dipercayai diupah untuk membeli diesel di stesen-stesen minyak sebelum dihantar kepada sindiket sebelum dijual pula kepada pihak ketiga dengan harga lebih mahal berbanding subsidi, namun lebih murah daripada harga pasaran,” katanya.

Susulan serbuan kedua itu, ujar beliau, beberapa barangan disita termasuk lori jenis Nissan, minyak diesel, pam motor dan hos paip, telefon bimbit, tangki tambahan serta invois belian diesel yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM37,089.

Tambah Jegan, kedua-dua kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman berat termasuk denda dan penjara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.