BUKIT MERTAJAM : Lima warga asing dan dua warga tempatan terselamat selepas sebuah asrama pekerja dan dua unit kilang berhampiran hampir musnah dalam satu kebakaran di Kawasan Industri Ringan Juru di sini, malam tadi.
Difahamkan, ketika kejadian, kesemua mangsa yang juga merupakan pekerja kilang tersebut berjaya keluar daripada asrama terbabit sebelum terbakar.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.25 malam sebelum bergegas ke lokasi dengan kekuatan 30 anggota termasuk penyelia dan pegawai kanan.
Katanya, dua premis kilang yang terbakar itu terletak bersebelahan dan masing-masing menjalankan perusahaan pembuatan minuman kesihatan serta kabinet dapur manakala asrama pekerja pula terletak dalam kawasan gudang kitar semula plastik di kawasan tersebut.
“Kedua-dua kilang itu mengalami tahap kemusnahan antara 15 hingga 40 peratus manakala asrama pekerja jenis tidak kekal itu pula musnah sehingga 90 peratus.
“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 9.03 malam dan dipadam sepenuhnya pada pukul 10.22 malam sebelum operasi tamat sepenuhnya tengah malam tadi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah beliau, kes tersebut diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) JBPM untuk tindakan lanjut termasuk bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.-UTUSAN









