Pertubuhan haram: JPPM tahan lapan individu bantu siasatan

Pertubuhan haram: JPPM tahan lapan individu bantu siasatan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menahan lapan individu termasuk tujuh warga Indonesia dalam satu operasi penguatkuasaan terhadap sebuah pertubuhan tidak berdaftar di Taman Pelangi, Perai di sini, semalam.

Jurucakap JPPM berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 8.30 malam itu, seorang wanita tempatan yang dipercayai memegang jawatan dalam pertubuhan dikenali sebagai Persatuan Anak Rantau Indonesia (PARI) turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, operasi penguatkuasaan itu dijalankan hasil risikan dan maklumat berhubung aktiviti pertubuhan berkenaan yang dipercayai beroperasi tanpa pendaftaran yang sah di bawah Akta Pertubuhan 1966.

“Dalam operasi yang sama, JPPM turut merampas pelbagai barangan dipercayai berkaitan aktiviti pertubuhan terbabit termasuk dokumen pentadbiran, kain rentang program, kad keahlian, cop rasmi persatuan dan beberapa unit telefon bimbit.

“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah sebelum permohonan reman terhadap mereka dibenarkan selama empat hari oleh Majistret Mahkamah Bukit Mertajam, Nurul Rasyidah Mohd. Akit bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, JPPM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menubuhkan atau mengendalikan pertubuhan tanpa sebarang kelulusan dan pendaftaran sah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN