Pemandu Grab bakal lancar mogok?

Pemandu Grab bakal lancar mogok?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Pe­mandu Grab Malaysia atau Grab Drivers Malaysia Associations (GDMA) akan mengadakan me­syuarat Jumaat ini sebelum me­ngambil sebarang tindakan protes berkenaan pengurangan kadar upah untuk pemandu Grab.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan GDMA, Mohd. Azril Ahmat berkata, pihaknya masih dalam proses mengumpulkan maklumat supaya mereka lebih bersedia berdepan dengan pihak pengurusan syarikat itu.

“Saya hanya akan boleh memberikan jawapan mengenai tindakan seterusnya selepas Jumaat ini kerana kami akan adakan mesyuarat terlebih dahulu untuk memutuskan perihal isu ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada masa ini, kita di GDMA cuba mengumpulkan seberapa banyak maklumat tentang per­masalahan yang berlaku di­se­­babkan perubahan harga tam­bang sebelum membuat ke­pu­tusan berkumpul mogok atau sebagainya.

“Jika kita pergi ke Pusat Pemandu Grab (GDC) untuk mogok tanpa berbincang dan apabila tiba masa soal jawab itu, kita tiada fakta untuk dijadikan sandaran kepada pihak pengurusan. Oleh kerana itu, kami minta sedikit masa untuk kami kumpul maklumat,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Hu­lu Langat, Sany Hamzan meng­gesa supaya Kementerian Pengangkutan campur tangan dalam isu pengurangan kadar upah bagi membantu pemandu-pemandu Grab dalam negara.

Mulai 16 Januari 2023 lepas, Grab mengeluarkan peraturan baharu yang mengurangkan kadar upah atau tambang kepada pemandu Grab dari 70 sen kepada hanya 25 sen per kilometer.

Tambah Mohd. Azril, pihak­nya mengalu-alukan semua pemandu Grab untuk menghubu­ngi pasukannya supaya mereka dapat melakukan persediaan rapi berkaitan kadar tambang itu.

“Apabila semua sudah sedia kita akan bergerak mengambil tindakan dan pada masa sama kami mengharapkan maklumat untuk dijadikan fakta untuk persediaan perjumpaan nanti,” jelasnya.

Sementara itu, pertengahan Januari lalu, Grab Malaysia da­lam satu kenyataan mengumumkan perubahan struktur tambang iaitu tambang untuk setiap minit menjadi lebih tinggi.

Menurut kenyataan, perubahan itu menguntungkan para pemandu Grab kerana mereka akan menerima bayaran lebih baik ketika waktu puncak dan ketika kesesakan lalu lintas.

Melalui kadar tambang baharu, tambang per minit diubah daripada 0.20 sen kepada 0.43 sen manakala tambang per ki­lometer pula dikurangkan daripada 0.70 sen kepada 0.25 sen.

Namun begitu, syarikat e-hailing itu akui tambang kese­luruhan akan lebih kurang sama tetapi akan menjadi lebih mahal apabila berlaku kesesakan lalu lintas.

Ketidakpuasan hati pemandu Grab berpunca daripada pengurangan sehingga 65 peratus pada tambang per kilometer. Itu adalah kerana waktu kesesakan lalu lintas adalah terhad dan tidak melibatkan semua kawasan da­lam negara kecuali Kuala Lumpur dan Selangor.

Bukan itu sahaja, tidak dapat dipastikan jika pembayaran itu terus konsisten kerana kese­sakan lalu lintas berlaku dalam keadaan yang tidak menentu dan sukar dijangka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini