Panjangkan semula tempoh pinjaman - Cuepacs

Panjangkan semula tempoh pinjaman – Cuepacs

CUEPACS
ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) meminta Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) meneliti langkah untuk memanjangkan semula had tempoh bayaran pinjaman termasuk pembiayaan peribadi daripada 10 tahun kepada 20 tahun. 

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, Cuepacs melahirkan sedikit kebimbangan keperluan rakyat ketika ini yang terpaksa berhutang bagi meneruskan kehidupan disebabkan gaji yang tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang tinggi ketika ini. 

Bagaimanapun katanya, tempoh pembiayaan yang singkat iaitu maksimum 10 tahun menyebabkan ansuran bulanan menjadi tinggi sehingga menyebabkan pendapatan boleh guna peminjam itu terjejas.

“Cuepacs berpandangan langkah memanjangkan semula tempoh pembiayaan wajar dilaksanakan semula ketika rakyat sedang terkesan susulan dengan peningkatan kos sara hidup serta kesan pasca Covid-19 kerana jumlah bayaran balik pinjaman akan menjadi lebih rendah. 

“Bayaran semula pinjaman yang rendah ini membolehkan rakyat mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan jika had tempoh pembiayaan dipanjangkan. 

“Mana-mana rakyat yang terjejas pendapatan mereka juga boleh membuat penstrukturan semula tempoh dan bayaran bulanan kepada jumlah yang lebih mampu, serta boleh mengelakkan masalah kebankrapan atau muflis daripada berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung laporan media mengenai jumlah 49,133 kes kebankrapan yang ditadbir Jabatan Insolvensi sejak 2018 yang mencatatkan hutang pinjaman peribadi serta sewa beli kenderaan antara faktor utama yang menyebabkan rakyat negara ini jatuh bankrap sejak lima tahun lalu. 

Untuk rekod, BNM pada 2013 sebelum ini telah mengeluarkan pekeliling memendekkan tempoh pembiayaan peribadi dari 25 tahun kepada 10 tahun dan pinjaman perumahan dari 45 tahun kepada 35 tahun.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, langkah tersebut mengakibatkan jumlah bayaran bulanan yang perlu dibayar oleh peminjam baru menjadi lebih besar sekali gus mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna mereka. 

Malah, katanya, tindakan itu juga memberi kesan kepada pendapatan boleh guna rakyat yang mahu melakukan pinjaman apatah lagi dengan situasi harga rumah yang meningkat begitu drastik pada waktu tersebut. 

“Oleh itu, secara keseluruhannya langkah pemanjangan ini dijangka  merancakkan semula ekonomi kerana pendapatan boleh guna rakyat lebih bertambah serta mengurangkan tekanan hidup rakyat. 

“Dalam masa yang sama operasi perniagaan koperasi kredit dan institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM boleh berkembang semula.

“Lebih penting adalah ia mampu memberi peluang kedua kepada rakyat yang mungkin terhimpit sehingga perlu melalui proses kebankrapan menstruktur semula kewangan mereka. 

“Ia memberi situasi menang-menang kepada rakyat yang boleh menjalani hidup seperti biasa tanpa perlu melalui proses kebankrapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.