Pakej umrah harga ‘kayangan’, saya tak salahkan netizen - Neelofa - Utusan Malaysia

Pakej umrah harga ‘kayangan’, saya tak salahkan netizen – Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selebriti terkemuka tanah air, Neelofa, tidak berkecil hati apabila didakwa menyediakan pakej umrah pada harga yang tinggi sehingga mencecah angka RM35,000 untuk seorang jemaah.

Menurut Neelofa, masih ramai kalangan netizen dan masyarakat yang mungkin tidak tahu bahawa sebenarnya pakej itu sangat berbaloi untuk mereka yang berkemampuan memandangkan pelbagai perkhidmatan terbaik disediakan.

“Saya tahu ramai yang mempersoal harga pakej umrah tersebut sehingga menjadi kecoh di ruangan maya sejak saya kongsikan poster itu di media sosial. Beginilah, saya tak salahkan mereka sebab tak tahu apa perkhidmatan yang disediakan.

“Kalau nak tahu, hotel di bawah pakej itu adalah yang terbaik dipilih oleh agensi Omrah Travel iaitu InterContinental Dar al Tawhid Makkah dan The Oberoi Madinah.

“Kedua-dua hotel ini mempunyai kemudahan dan perkhidmatan terbaik dan sering menjadi pilihan banyak pembesar dan orang kenamaan dari seluruh dunia. Saya pun dah pergi ke hotel itu beberapa kali dan memang mudah dengan jarak sangat dekat selain banyak kemudahan lain,” katanya.

Neelofa berkata demikian semasa ditemui pada majlis kursus umrah bersama Omrah Travel di sebuah hotel di ibu negara.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Omrah Travel, Datuk Ahmad Tajuddin Idris dan Mutawwif khas, Sheikh Mahmoud Al-Wosabi.

Selain itu, kata isteri kepada penceramah bebas, PU Riz ini, dia juga menekankan dari aspek pengalaman yang berbeza bagi jemaah yang memilih dan mengikuti pakej umrah di bawah agensi tersebut.

“Sebenarnya, ini adalah pilihan masing-masing. Namun, mereka yang ikuti pakej ini pasti akan dapat rasa pengalaman yang berbeza. Bayangkan, harga hotel itu saja sudah cecah RM15,000 jika guna cara sendiri.

“Ini kita dah dapatkan harga istimewa sebab ziarah dilakukan secara berkumpulan. Pendek kata, banyak lagi manfaat lain yang ada untuk jemaah yang pilih pakej ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Omrah Travel, Datin Saiyidah Othman turut memaklumkan bahawa mereka menyediakan kursus umrah secara privasi di kediaman bagi mereka yang membuat pilihan itu.

“Kebanyakan jemaah kami mengambil pakej VVIP, jadi kami buat kursus umrah secara privasi di rumah. Kita hantar dua orang mutawif untuk mereka.

“Bagi saya, ia sangat berbaloi kerana belum ada lagi agensi umrah berani jual pakej yang ada perkhidmatan yang lazimnya menjadi pilihan orang kenamaan.

“Tapi kali ini, Omrah Travel buat sebab nak orang kita pun dapat rasa pengalaman ini. Harga itu tidak mahal, jangan salah sangka sebab layanan dan perkhidmatan yang disediakan memang kelas A,” katanya.

Sementara itu, Neelofa turut memberitahu akan berangkat ke Tanah Suci pada 23 Februari ini bersama suami dan putera sulung mereka, Muhammad Bilal selain beberapa anggota keluarga lain.

Menurut Neelofa, dia akan berada di Mekah dan Madinah selama 12 hari untuk melakukan ibadah umrah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.