KEMAJUAN pesat kecerdasan buatan (AI) pada dekad ini sering dilihat sebagai pemacu inovasi dan produktiviti. Namun di sebalik manfaat tersebut, muncul satu realiti baharu yang semakin membimbangkan iaitu peningkatan penipuan siber yang kini berkembang daripada aktiviti kecil kepada industri manipulasi berskala besar.
Jika dahulu penipuan mudah dikesan melalui kesilapan bahasa dan skrip yang lemah, kini AI membolehkan mesej, suara dan visual dihasilkan dengan sangat meyakinkan.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sebanyak 49,082 kandungan scam diturunkan pada Ogos 2025, dengan lebih 8,000 kes dilaporkan melibatkan kerugian mencecah RM1.2 bilion. Angka ini hanya sebahagian daripada realiti sebenar kerana banyak kes tidak dilaporkan.
Perkembangan paling ketara ialah penggunaan Generatif AI yang membolehkan penjenayah menghasilkan kandungan palsu dengan cepat tanpa kemahiran teknikal tinggi. Ini menjadikan sempadan antara maklumat benar dan palsu semakin kabur serta menyukarkan pengguna membuat penilaian.
Lebih membimbangkan, teknologi Deepfake digunakan untuk meniru wajah dan suara individu dengan tepat. Penjenayah boleh menyamar sebagai ahli keluarga, pegawai bank atau pihak berkuasa melalui panggilan audio dan video.
Dalam beberapa kes, mangsa membuat pemindahan wang dalam tempoh singkat selepas diperdaya oleh panggilan palsu yang meyakinkan.
Teknik ini diperkukuh dengan kejuruteraan sosial yang mengeksploitasi emosi seperti panik, simpati dan kepercayaan. AI membolehkan mesej disesuaikan mengikut profil mangsa, menjadikan penipuan lebih peribadi dan sukar dikesan.
E-mel pancingan data juga kini dihasilkan dengan bahasa yang sempurna dan kontekstual, sekali gus menghapuskan petanda klasik seperti kesilapan tatabahasa.
Di Malaysia, penggunaan platform seperti WhatsApp dan Facebook mempercepatkan penyebaran taktik ini, termasuk kes penipuan cinta yang membina hubungan emosi sebelum memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang.
Namun, ancaman ini bukan hanya berpunca daripada teknologi tetapi juga kelemahan literasi digital masyarakat. Ramai pengguna masih bergantung pada visual dan suara sebagai penentu kesahihan, sedangkan kedua-duanya kini boleh dipalsukan dengan mudah.
Walaupun begitu, AI turut digunakan dalam usaha keselamatan siber seperti mengesan transaksi mencurigakan dan mengenal pasti serangan phishing secara masa nyata. Malah, terdapat pendekatan menggunakan chatbot untuk mengganggu operasi scammer dengan membuang masa mereka.
Namun, teknologi semata-mata tidak mencukupi kerana faktor manusia kekal sebagai kelemahan utama. Oleh itu, pendidikan literasi digital perlu diperkukuh mengikut kumpulan sasaran, termasuk warga emas, golongan muda dan komuniti rentan seperti neurodiverse.
Selain itu, kerjasama antara kerajaan, institusi kewangan dan platform digital perlu dipertingkatkan bagi membina ekosistem keselamatan yang lebih kukuh dan responsif. –UTUSAN
MOHAMED IMANUDDIN MOHD. SHAHREN & NURUL NISHA MOHD. SHAH, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau











