Nisbah doktor, pesakit bakal cecah 1:1,000

Nisbah doktor, pesakit bakal cecah 1:1,000

Hospital kerajaan kekurangan doktor pakar sehingga pesakit terpaksa menunggu enam bulan untuk berjumpa, dirawat atau dibedah. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem kesihatan awam semakin kritikal sehingga negara terpaksa menyaksikan seorang doktor perlu merawat 1,000 pesakit sedangkan ratio doktor dan pesakit oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tahun 2021 adalah 1:420 di sektor awam serta swasta.

Ketidakseimbangan itu kemungkinan menjadi lebih teruk susulan pendedahan oleh portal berita kesihatan, Code Blue bahawa 70 peratus petugas kementerian terbabit mahu berhenti kerana tidak puas hati dengan sistem penjagaan kesihatan negara.

Pada masa ini, kira-kira 80 peratus daripada kira-kira 33.4 juta penduduk Malaysia terutama golongan B40 yang kini jumlahnya kira-kira mencecah 8.7 juta orang menggunakan perkhidmatan kesihatan awam sebagai saluran utama mendapatkan rawatan.

Menurut laporan Fakta Kesihatan 2022 oleh KKM, jumlah keseluruhan doktor di Malaysia pada 2021 yang berkhidmat dalam sektor awam adalah 40,083, sektor swasta dan bukan di bawah KKM adalah 21,733. Jumlah doktor baharu pula adalah 5,641 manakala doktor kontrak 9,578.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Muruga Raj Rajathurai berkata, ada pelbagai isu yang mendorong petugas kesihatan awam berasa ‘kecewa’ iaitu antaranya adalah beban kerja tinggi, tiada hala tuju jelas dalam kerjaya, terlalu banyak karenah birokrasi, gaji tidak setimpal berbanding sektor swasta dan pelbagai lagi.

Malah, beliau turut mendedahkan di dalam sesetengah fasiliti kesihatan terdapat doktor yang berasa tidak gembira dalam menjalankan tugas mereka disebabkan suasana dan budaya kerja.

“Sistem kesihatan awam mungkin berdepan dengan krisis sekiranya fasiliti dan tenaga kerja dalam sistem tersebut tidak menepati permintaan. Untuk menangani perkata ini, kerajaan perlu lihat pada penglibatan pihak swasta dengan sistem kewangan kesihatan yang baik seperti insurans.

“Kami juga sudah mencadangkan kepada kerajaan untuk outsource servis kesihatan tertentu seperti pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) kepada lebih 8,000 pengamal perubatan am swasta (GP) melalui kerjasama awam dan swasta sebagai usaha untuk mengurangkan kesesakan di dalam sistem kesihatan awam,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Muruga Raj berkata, tidak mustahil nis­bah 1:1,000 itu jadi realiti memandangkan jumlah pesakit di sektor kesihatan awam terlalu ramai sedangkan tenaga kerja pula berkurangan.

Menurut beliau, sekiranya isu yang mendepani petugas kesihatan awam dapat diteliti dan diselesaikan dengan cepat maka nisbah bagi doktor ke pesakit akan menjadi lebih baik seterusnya meningkatkan efisiensi sistem kesihatan awam.

“Walau bagaimanapun, nis­bah doktor kepada pesakit mungkin berbeza dari negeri ke negeri lain kerana ketidakseimbangan pengagihan doktor dalam sistem penjagaan kesihatan awam. KKM seharusnya mengkaji setiap keperluan sistem kesihatan negara dan membuat perancangan sewajarnya. Kami percaya Menteri Kesihatan (Dr. Zaliha Mustafa) sedang meneliti perkara ini.

“Dengan jumlah doktor ketika ini, dibandingkan dengan jumlah pesakit ia akan menyebabkan kelewatan dalam proses merawat dan pesakit perlu menunggu dengan lebih lama,” kata beliau.

Tambahnya, sistem kesihatan negara memerlukan pembaikian dan kertas putih untuk mereformasikan sistem tersebut amat penting supaya dapat terus bergerak ke hadapan.

“Apa yang paling penting, kerajaan perlu mengutamakan pelaburan dalam sistem kesihatan iaitu daripada aspek tenaga manusia. Ini kerana populasi negara dan keperluan penjagaan kesihatan semakin meningkat.

“Semua petugas dalam sistem kesihatan negara perlu diberi jaminan mengenai hala tuju mereka, kerajaan seharusnya membantu mereka menemui laluan yang ‘jelas’ dalam kerjaya kerana itu akan memastikan kita mempunyai kepakaran mencukupi yang akhirnya memberi manfaat kepada negara untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Mengenai nisbah satu pekerja perubatan merangkumi doktor dan jururawat terlatih yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 1:225 pesakit, Dr. Muruga Raj berkata, ratio itu bagi memastikan semua pesakit mendapat penjagaan kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN