KUANTAN: Tiga daripada 16 sumber unsur nadir bumi (REE) yang banyak terdapat di beberapa kawasan di Pantai Timur, Kedah dan Perak mempunyai nilai komersial cukup tinggi sehingga mencecah harga RM2 juta satu metrik tan.
Tiga unsur berkenaan adalah Praseodymium (Pr) berharga RM577,212 satu metrik tan, Neodymium (Nd) RM593,336 dan Dysprosium (Dy) berharga RM1.9509 juta satu metrik tan.
Dianggarkan pada 2030, antara 40,000 ke 70,000 metrik tan Pr, Nd dan Dy diperlukan untuk menghasilkan bateri teknologi kenderaan elektrik (EV) dan magnet berprestasi tinggi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Kelestarian Ekosistem dan Sumber Alam (Pusat Alam) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Mohd. Yunus berkata, tiga REE itu adalah elemen utama diperlukan dalam penghasilan magnet berkuasa tinggi bagi menghasilkan motor elektrik kereta hibrid/elektrik, turbin angin dan perkakasan elektrik rumah serta industri.
Beliau berkata, tanpa tiga unsur nadir bumi ini, peralihan kepada tenaga hijau mustahil untuk dilaksanakan.
“Menurut statista.com, pada 2022 sahaja, sejumlah kira-kira 300,000 metrik tan nadir bumi oksida dikeluarkan di seluruh dunia bagi memenuhi keperluan global. Jumlah ini merupakan peningkatan hampir 175 peratus berbanding nilai pengeluaran satu dekad sebelumnya (2012 – 110,000 metrik tan).
“Adamas Intelligence pula melaporkan, dianggarkan sekitar 48,000 metrik tan Pr, Nd dan Dy oksida diperlukan pada 2030 bagi memenuhi keperluan 25 hingga 30 juta motor elektrik bagi kegunaan kenderaan elektrik sahaja.
“US Department of Energy melalui laporan yang dikeluarkan pada 24 Februari 2022 menyatakan permintaan global bagi magnet berasaskan nadir bumi pada 2020 berjumlah 119,200 metrik tan yang dijangka meningkat kepada 387,000 metrik tan pada 2030 dan seterusnya 753,200 metrik tan pada 2050,” katanya di sini semalam.
Mohd. Yusri berkata, contoh paling dekat dengan setiap manusia hari ini ialah telefon mudah alih yang mana teknologinya sentiasa berkembang dari semasa ke semasa.
“Skrin telefon memerlukan europium (Eu) sebagai fosfor merah. Amaun yang diperlukan sangat sedikit tetapi, tanpa kehadiran Eu dalam struktur skrin telefon/televisyen, tiada warna merah dapat dihasilkan.
“Sebahagian kita pasti ingat dengan telefon bersaiz besar suatu ketika dahulu. Bunyi yang terhasil oleh pembesar suara telefon tersebut boleh dikatakan sekadar cukup untuk kita mendengar dengan mendekatkan pembesar suara telefon ke telinga.
“Telefon hari ini punya pembesar suara yang berkali ganda lebih hebat berbanding telefon 20 tahun dahulu tetapi pada saiz yang lebih kecil.
“Hari ini, kita mampu menonton wayang gambar tanpa perlu bantuan pembesar suara luar atau fon telinga/kepala. Bagaimana teknologi ini berkembang?
“Unsur nadir bumi Nd dan Pr jawapan kepada teknologi ini. Magnet yang dihasilkan menggunakan unsur nadir bumi ini merupakan magnet kekal yang jauh lebih kuat berbanding magnet biasa (magnet AlNiCo atau ferit) hari ini.
“Dengan saiz magnet NdPr yang lebih kecil dan lebih berkuasa dari magnet AlNiCo atau ferit, telefon hari ini menjadi alat pembesar suara mudah alih yang serba boleh,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, penghasilan magnet dari unsur nadir bumi ini merupakan salah satu model industri hiliran nadir bumi yang boleh dikelaskan kepada tiga skop utama iaitu industri huluan (perlombongan), industri pertengahan (pemisahan/penulenan), dan industri hiliran (penggunaan logam nadir bumi).
Katanya, kitaran lengkap industri ini merupakan cabang perniagaan yang begitu besar impak kewangannya.
“Perlombongan dan proses pemisahan merupakan hanya sebahagian kecil dari industri ini. Bagaimanapun, ia perlu untuk menyokong industri hiliran bernilai tinggi yang bergantung sepenuhnya kepada penghasilan berkualiti dari industri huluan dan pertengahan.
“Untuk menggalakkan industri hiliran seperti penghasilan magnet, skrin LCD, laser dan juga industri barangan elektronik pengguna, industri huluan dan pertengahan perlu diperkayakan selain dasar yang positif bagi menggalakkan pelaburan baharu.
“Industri huluan iaitu perlombongan pula perlu diperkasakan dengan penerapan dasar perlombongan mampan dan lestari. Perlombongan tradisional perlu di tambah baik bagi memastikan hasrat mencapai teknologi dan tenaga hijau tidak dicemari oleh cabang industri yang tidak lestari dan mampan,” katanya.
Beliau berkata, perlombongan perlu bermula dengan proses rehabilitasi yang berjalan sejajar dengan perlombongan itu sendiri.
“Bahkan, teknologi terkini boleh digunakan untuk membantu mencapai kelestarian keseluruhan proses industri nadir bumi itu sendiri,” jelasnya. – UTUSAN










