Mural perindah pekan Bagan Datuk - Utusan Malaysia

Mural perindah pekan Bagan Datuk

PESERTA yang menjayakan projek mural pada dinding bangunan lama di Bagan Datuk baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Seramai 12 bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sri Iskandar Perak berjaya menyiapkan projek lukisan dinding atau mural pada bangunan lama di pekan Bagan Datuk di sini.

Pensyarah Jabatan Seni Halus UiTM Cawangan Perak, Muhammad Salehuddin Zakaria berkata, lukisan mural pelbagai corak dan motif yang menghiasi dinding bangunan lama di lorong deretan kedai terlibat bertujuan menambah seri pekan kecil itu.

Menurutnya, lukisan mural itu diharap dapat menarik minat pelancong untuk berkunjung ke pekan Bagan Datuk.

“Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka yang dibantu Jabatan Seni Halus UiTM Cawangan Perak mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan lukisan mural ini yang bermula pada 22 Januari lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muhammad Salehuddin yang juga pengarah projek berkata, penghasilan lukisan mural tersebut diharap dapat menceriakan pekan Bagan Datuk menerusi pelbagai lukisan dan sentuhan budaya tradisional serta konsep hijau.

Katanya, projek itu dijayakan 10 pensyarah daripada Jabatan Seni Halus dan 12 bekas pelajar UiTM Sri Iskandar Cawangan Perak.

“Kami melukis mural pada dinding bangunan lama, ada 16 dinding mural yang telah dibaik pulih dan dilukis dengan lukisan mural baharu. Kami menambah arca timbulan iaitu satu konsep mural baharu dan ditambah dengan elemen kelestarian alam pada mural.

“Dengan landskap sedia ada di sekelilingnya seperti pokok di sekitar kawasan ini, suasana diperindahkan lagi dengan menyediakan bangku supaya orang yang berkunjung boleh berehat di sini dan menyaksikan keindahan mural yang dilukis di dinding bangunan lama ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, projek tersebut memberikan satu tarikan baharu kepada pekan Bagan Datuk untuk menarik orang ramai berkunjung ke sini.

Menurutnya, pelbagai usaha lain juga dilakukan untuk menjadikan pekan Bagan Datuk sebagai tumpuan pelancong termasuk projek infrastruktur seperti Jambatan Bagan Datuk ke Sejagop di kawasan Parlimen Pasir Salak.

Katanya, apabila jambatan itu siap kelak, ia akan memudahkan kedatangan orang luar ke pekan itu.

“Di sini banyak banyak tarikan terutama Beting Beras Basah, taman bunga matahari dan waterfront yang mampu menarik kedatangan pelancong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya