JEMPOL: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas, Abdullah Alias, 78, yang dilaporkan hilang selepas memasuki kebun sawit miliknya di Felda Palong 3 di sini Ahad lalu, diperluaskan hari ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, kawasan pencarian hari ini diperluaskan sehingga radius tiga kilometer dari lokasi motosikal mangsa ditemukan.
Menurutnya, warga emas itu mempunyai masalah pelupa berkemungkinan bergerak lebih jauh dari lokasi terakhir keberadaannya.
“Operasi SAR hari ini turut menggunakan dua Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM, iaitu Rabel dan Tyson bagi membantu mengesan mangsa.
“Mangsa difahamkan mempunyai masalah pelupa dan ada kemungkinan bergerak ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhisham berkata, mangsa yang berkulit cerah dan berketinggian kira-kira 160 sentimeter dilaporkan memakai baju-T berwarna kelabu serta bertopi merah ketika kali terakhir dilihat.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan operasi pencarian turut dibantu dengan penggunaan dron yang dikendalikan Unit Dron JBPM.
Semalam, media melaporkan mangsa keluar dari rumah kira-kira pukul 5 petang sebelum disedari tidak pulang oleh ahli keluarganya sekitar pukul 6 petang Ahad lalu sebelum motosikal milik mangsa kemudian ditemukan di kawasan kebun sawit berkenaan. – UTUSAN










