KUALA TERENGGANU: Sudah tiba masanya golongan bumiputera berhenti menjadi sekadar pengguna teknologi, vendor kecil dan peserta pasaran, sebaliknya tampil sebagai pemilik platform digital, pencipta teknologi kecerdasan buatan (AI) serta peneraju industri strategik negara.
Mesej itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerusi tiga anjakan radikal yang digariskan dalam usaha melonjakkan penguasaan ekonomi bumiputera ke tahap lebih tinggi dan berdaya saing di peringkat global.
Beliau berkata, transformasi tersebut perlu dilaksanakan secara tuntas dan berani supaya agenda ekonomi bumiputera tidak terus menjadi retorik atau sekadar dasar di atas kertas.
“Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Jika kita benar-benar mahu mengangkat agenda ekonomi bumiputera, maka kita mesti berani melaksanakannya dengan tuntas dan bukan separuh jalan,”katanya ketika berucap sempena Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) anjuran Universiti Teknologi Mara ( UiTM) 2026 di Terengganu Equestrian Resort di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menggariskan tiga anjakan radikal yang perlu dilaksanakan segera bagi memastikan usahawan bumiputera tidak terus berada di pinggiran pasaran.
Anjakan pertama kata beliau, adalah mengubah ukuran kejayaan daripada sekadar penyertaan kepada pemilikan.
Ahmad Zahid berkata, selama ini pencapaian ekonomi bumiputera sering diukur berdasarkan jumlah penyertaan dalam sektor tertentu seperti ekonomi digital dan gig ekonomi, namun angka tersebut tidak semestinya mencerminkan penguasaan sebenar terhadap ekonomi.
“Kita boleh ramai berniaga di platform digital tetapi siapa yang memiliki platform itu? Kita boleh ramai menjadi pengguna teknologi, tetapi siapa yang mencipta teknologi itu?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pembangunan platform digital bumiputera berskala besar yang mampu menyaingi syarikat antarabangsa seperti Gojek dan Careem.
Katanya, usaha tersebut boleh digerakkan melalui jaringan alumni serta tenaga pakar UiTM bagi melahirkan lebih ramai pemilik platform dan pencipta teknologi dalam kalangan bumiputera.
Anjakan kedua pula memberi fokus kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan menerusi inisiatif yang dinamakan Bumi-AI Foundry.
Beliau berkata, bumiputera tidak boleh sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu tampil sebagai pencipta nilai dan peneraju inovasi dalam era ekonomi digital.
Menurutnya, kerjasama strategik antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), universiti, syarikat pemula niaga (startup) dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu diperkukuh bagi membolehkan penggunaan AI dimanfaatkan secara lebih meluas dalam sektor perniagaan.
“AI bukan lagi teknologi elit untuk syarikat besar atau sekadar digunakan bagi menyunting gambar. Ia perlu menjadi alat yang membantu meningkatkan daya saing dan produktiviti usahawan bumiputera,” katanya.
Beliau berkata, Bumi-AI Foundry perlu diwujudkan sebagai platform menghimpunkan bakat tempatan bagi membangunkan penyelesaian AI yang memenuhi keperluan pasaran dan industri semasa.
Anjakan ketiga pula menuntut usahawan bumiputera menguasai rantaian nilai industri serta keluar daripada peranan tradisional sebagai vendor kecil atau pembekal sampingan.
Dalam sektor halal misalnya, Ahmad Zahid berkata, Malaysia tidak boleh sekadar berbangga dengan pensijilan halal semata-mata, sebaliknya perlu menguasai pengeluaran bahan mentah kritikal yang masih banyak diimport dari luar negara.
Beliau mencadangkan pembentukan konsortium syarikat bumiputera berskala besar bagi menghasilkan produk strategik seperti gelatin halal, enzim dan bahan aktif farmaseutikal. – UTUSAN










